SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bersikap tegas dan menyuarakan pendirian jelas bagi menghentikan serangan ke atas rakyat Palestin sempena pertemuan beliau dengan Presiden Donald Trump.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Anwar perlu menuntut tindakan segera untuk menghentikan semua serangan ketenteraan di Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.
“Mapim menggesa agar gencatan segera dilaksanakan dengan pemantauan bebas bagi menjamin perlindungan orang awam. Laluan kemanusiaan perlu dibuka sepenuhnya bagi memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan sampai kepada penduduk Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebarang usaha pembinaan semula mesti dipimpin oleh rakyat Palestin sendiri dan bukannya ditentukan oleh kuasa luar.
Katanya, Mapim menolak sebarang rancangan yang cuba meminggirkan suara serta hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka.
"Mapim turut mengemukakan beberapa cadangan kepada Anwar untuk diserahkan dalam pertemuan itu, antaranya mendesak pembukaan koridor kemanusiaan segera dari Mesir atau Israel yang dipantau negara neutral dan agensi antarabangsa, serta menuntut siasatan bebas terhadap dakwaan jenayah perang.
“Mapim juga menegaskan perlunya akauntabiliti. Malaysia wajar menyokong rujukan kes ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sekiranya perlu,” katanya.
Beliau berkata, Mapim mencadangkan agar Malaysia memimpin usaha diplomatik dengan negara-negara sahabat seperti Indonesia, Turkiye dan anggota OIC bagi mendesak gencatan senjata serta memberi tekanan kepada pihak yang terlibat dalam jenayah perang.
“Malaysia mesti menjadi suara moral yang lantang ketika kemanusiaan sedang diuji. Kami mahukan tindakan nyata bukan hanya kata,” katanya.
Beliau turut menyeru agar kerajaan mengadakan sidang tergempar OIC, menggalakkan kempen solidariti awam serta menyalurkan bantuan pembinaan hospital dan sekolah di bawah kawalan Palestin.
“Segala pembinaan semula mesti berlandaskan maruah dan hak rakyat Palestin. Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap pembunuhan berterusan di Gaza,” katanya. - DETIK MALAYSIA