KUALA LUMPUR – Perhimpunan Bantahan Trump yang diadakan di kawasan parkir bersebelahan G Tower, di sini, petang semalam berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata perhimpunan yang bermula pada pukul 5 petang itu dihadiri kira-kira 120 peserta dan bersurai sepenuhnya pada pukul 6.45 petang dengan kawalan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“PDRM mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah berjaya mengawal peserta dan mematuhi segala arahan serta peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PDRM komited untuk memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan akan terus tegas mengawal serta memudah cara sebarang perhimpunan agar dapat berlangsung dalam suasana aman dan teratur.
Perhimpunan berkenaan diadakan susulan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Polis KL