KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini mengumumkan penganjuran kejohanan baharu dikenali sebagai Piala ASEAN FIFA (FIFA ASEAN Cup) yang bakal menghimpunkan kesemua 11 negara Asia Tenggara dalam satu saingan rasmi di bawah kalendar FIFA Matchday.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata kejohanan itu menjadi langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama dan pembangunan bola sepak di rantau ini.
“Piala ASEAN FIFA diwujudkan untuk melibatkan semua 11 negara anggota ASEAN. Ia akan memberi impak besar bukan sahaja kepada Asia Tenggara, malah kepada perkembangan bola sepak dunia,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin negara ASEAN.
Pelancaran rasmi kejohanan itu dibuat selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara FIFA dan ASEAN yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Infantino menyifatkan angka 11 yang mewakili jumlah negara ASEAN sebagai simbolik kepada bilangan pemain dalam satu pasukan bola sepak.
“Kini ASEAN menjadi satu pasukan lengkap, bersedia untuk menang,” ujarnya.
Tambah beliau, Asia Tenggara merupakan kawasan paling dinamik dalam dunia bola sepak dengan lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya pasaran penting bagi pertumbuhan sukan tersebut.
Kerjasama FIFA-ASEAN akan tertumpu kepada tiga prinsip utama iaitu integriti permainan, keselamatan persekitaran bola sepak dan pendidikan melalui sukan.
“Kami mahu memastikan bola sepak terus berkembang dalam suasana selamat serta menjadi medium pendidikan untuk generasi muda, lelaki mahupun wanita di seluruh rantau ini,” katanya. - DETIK MALAYSIA