KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru masyarakat antarabangsa agar mengiktiraf Pembunuhan Beramai-ramai Jammu pada 6 November 1947 sebagai satu tindakan genosid terhadap umat Islam di wilayah berkenaan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata peristiwa berdarah itu merupakan antara bab paling hitam dalam sejarah Asia Selatan apabila lebih 200,000 penduduk Islam tidak bersenjata dibunuh secara sistematik, manakala lebih setengah juta lagi dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka menuju ke wilayah yang kini dikenali sebagai Pakistan.
Katanya, tragedi itu bukan berlaku secara spontan, sebaliknya merupakan kempen terancang pembersihan etnik yang dilaksanakan dengan penglibatan tentera Maharaja, kumpulan pelampau dan pertubuhan ekstremis seperti RSS dan Hindu Mahasabha.
“Pembunuhan beramai-ramai di Jammu menandakan permulaan kepada penindasan panjang terhadap rakyat Jammu dan Kashmir yang masih berlarutan hingga kini di bawah pendudukan ketenteraan India,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-78 tragedi itu, hari ini.
Mohd Azmi berkata, penderitaan rakyat Kashmir tidak berakhir di situ apabila kerajaan India pada Ogos 2019 membatalkan Artikel 370 yang memberi status autonomi khas kepada Jammu dan Kashmir.
Katanya, langkah itu disusuli dengan penahanan besar-besaran, kawalan ketat, serta usaha kejuruteraan demografi yang bertujuan menukar komposisi penduduk Islam di wilayah berkenaan.
“Selama 78 tahun, dunia terus membisu. Kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan tegas hanya memberi ruang kepada penjenayah perang untuk terus bebas,” tegasnya.
Mohd Azmi berkata, keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai Jammu masih belum ditegakkan, malah penderitaan rakyat Kashmir kini semakin parah di bawah tekanan berterusan rejim India.
“Darah yang tumpah pada 1947 masih menuntut keadilan. Dunia tidak boleh terus membisu kerana keadilan yang ditangguhkan bermakna keadilan dinafikan,” katanya.
Menurut beliau, media antarabangsa, institusi akademik dan pertubuhan hak asasi manusia perlu memainkan peranan untuk memastikan sejarah hitam itu tidak terus dilupakan.
“Keadilan untuk Jammu. Kebebasan untuk Kashmir. Maruah untuk Kemanusiaan,” katanya. - DETIK MALAYSIA