KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan senarai akhir 20 pemain skuad Young Tigers yang akan membawa cabaran negara pada Piala Dunia Remaja Lelaki FIH 2025 di Tamil Nadu, India, penghujung bulan ini.
Pengumuman tersebut dibuat selepas kem latihan intensif serta beberapa aksi ujian yang menjadi penilaian utama barisan kejurulatihan. Senarai itu menampilkan kombinasi seimbang antara pemain muda berpengalaman dan bakat baharu yang sedang meningkat, selaras fokus Malaysia terhadap pembangunan jangka panjang dan pelan kesinambungan skuad senior.
Antara nama yang menyerlah dan menempah slot akhir ialah Azimuddin Syakir, Adam Asyraf dan P. Naaveennesh, tiga pemain yang turut mempamerkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Piala Sultan Johor baru-baru ini. Aksi meyakinkan mereka membuka ruang untuk beraksi di pentas dunia.
Di jentera serangan, trio Danish Aiman, Rahul Fazrien dan Haziq Zunnurain bakal mengetuai gerak gempur Malaysia. Bahagian tengah pula dijangka digerakkan Adam Asyraf dan Muhammad Handzalah yang terkenal dengan ketenangan serta visi permainan.
Pertahanan negara akan dipimpin Shafiq Adam dan Iman Faris, manakala ketangkasan penjaga gol Haziq Muizuddin akan menjadi sandaran utama di benteng terakhir.
SENARAI PEMAIN MALAYSIA – PIALA DUNIA REMAJA LELAKI FIH 2025
Penjaga Gol:
Haziq Muizuddin
Muaz Bashir
Pertahanan:
Azimuddin Syakir
Shafiq Adam
Nabil Irfan
Aqil Danial
Iman Faris
Andywalfian Jeffrynus
Tengah:
Adam Asyraf
Muhammad Handzalah
Addy Jazmi
Atif Aqil
S. Yashvindraa
Ammar Qusyairi
Penyerang:
Danish Aiman
P. Naaveennesh
Rahul Fazrien
Haziq Zunnurain
Harris Iskandar
Danish Irfan
Malaysia bakal bersaing dengan pasukan bawah 21 tahun terbaik dunia dalam kejohanan berprestij itu, yang sering menjadi platform melahirkan bintang senior antarabangsa. Skuad muda negara berazam memperbaiki pencapaian edisi lalu dengan penekanan lebih kukuh terhadap disiplin taktikal dan corak permainan menyerang.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Austria, Belanda dan England, menjadi satu cabaran getir bagi merebut tiket ke pusingan kalah mati.
Jadual Perlawanan Malaysia:
29 November – Malaysia lwn Austria
30 November – Malaysia lwn Belanda
1 Disember – Malaysia lwn England
Hanya pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya, dan Young Tigers bertekad untuk melakukan kejutan serta melangkah lebih jauh kali ini. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Hokita