KUALA LUMPUR – Kelab gergasi Colombia, América de Cali, sah menamatkan kontrak penyerang Argentina, Rodrigo Holgado selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman penggantungan setahun terhadap pemain itu susulan skandal kelayakan naturalisasi di Malaysia.
Keputusan drastik itu dibuat sejurus FIFA memutuskan bahawa terdapat pemalsuan dokumen pemain oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan beberapa pemain naturalisasi beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Hukuman FIFA itu bukan sahaja membabitkan larangan setahun daripada bola sepak di seluruh dunia, malah turut mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penalti kewangan kepada semua pemain terbabit.
FAM sebelum ini mengemukakan rayuan, namun FIFA Appeal Committee menolak permohonan tersebut, sekali gus mengesahkan hukuman terhadap kesemua tujuh pemain, termasuk Holgado.
Menurut laporan media Colombia, pengurusan América de Cali bergerak pantas sebaik menerima notis rasmi daripada FIFA dan mengadakan pertemuan bersama Holgado serta ejennya bagi memuktamadkan penamatan kontrak lebih awal, yang sepatutnya berlanjutan lebih setahun lagi.
Difahamkan persetujuan itu dicapai secara baik dan profesional, tanpa pertikaian undang-undang. Kedua-dua pihak mengakui situasi tersebut berada di luar kawalan mereka memandangkan hukuman itu berkuat kuasa di seluruh dunia.
Walaupun kontrak ditamatkan, América de Cali dilaporkan tetap akan memenuhi bayaran gaji akhir seperti termaktub dalam kontrak asal pemain berusia 29 tahun itu.
Holgado yang tidak boleh beraksi sehingga lewat 2026 kini dijangka menjalani latihan secara individu bagi mengekalkan kecergasan sebelum kembali ke kancah bola sepak profesional pada September 2026.
Holgado pernah beraksi di Argentina, Chile dan Malaysia, dan merupakan antara tujuh pemain yang dihukum FIFA di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA kerana menggunakan dokumen palsu.
Enam lagi pemain yang turut dikenakan hukuman sama ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Jon Irazabal, João Figueiredo, Héctor Hevel dan Imanol Machuca. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - SNE-Photo