KUALA LUMPUR - Kontinjen Malaysia berada pada landasan terbaik untuk mencatatkan persembahan cemerlang apabila temasya Deaflympics Tokyo 2025 membuka tirai secara rasmi esok, dengan atlet negara bersedia memberi saingan hebat dalam acara badminton, boling dan olahraga.
Ditenagai persiapan berbulan-bulan serta keputusan memberangsangkan di peringkat serantau, skuad negara yang membawa 25 atlet, 25 pegawai dan 25 jurulatih itu menetapkan sasaran tiga pingat emas, dua menerusi badminton dan satu dalam acara boling berpasukan.
Atlet Malaysia akan beraksi dalam empat acara iaitu badminton, boling, olahraga dan karate.
Chef de Mission, Mohd Yusri Abdul Ghani, meluahkan keyakinan terhadap peluang skuad negara berdasarkan peningkatan prestasi dan persediaan rapi meskipun berdepan beberapa kekangan logistik.
“Sasaran ini dibuat mengikut tahap semasa atlet serta pencapaian mereka di pentas antarabangsa. Beregu campuran badminton kita, Boon Wei Ying dan Edmund Teoh yang meraih emas pada Brazil International 2024, kekal sebagai sandaran utama. Gandingan wanita juga menunjukkan peningkatan ketara. Dalam boling pula, pasukan berpasukan mempunyai kekuatan seimbang untuk memburu podium teratas,” katanya.
Skuad olahraga negara yang tampil dengan prestasi konsisten di kejohanan antarabangsa terkini turut dijangka memberikan kejutan di Tokyo.
Kontinjen Malaysia tiba lebih awal di Jepun bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dingin.
Menurut Mohd Yusri, semua atlet telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan melengkapkan dua minggu latihan penyesuaian terhadap suhu lebih sejuk.
“Cabaran utama adalah komunikasi di lapangan memandangkan atlet Pekak bergantung pada isyarat visual, rentak dan masa. Namun mereka menunjukkan adaptasi yang baik,” katanya.
Persiapan kali ini dilaksanakan di beberapa lokasi berikutan ketiadaan kem latihan berpusat. Latihan badminton dilakukan di Petaling Jaya, boling di USJ, Subang, olahraga di Perlis dan Terengganu, manakala karate berlatih di Johor Bahru.
"Latihan berpusat memang ideal, tetapi atlet kita berjaya menyesuaikan diri walaupun berada di lokasi berbeza. Cabaran terbesar adalah penyelarasan antara atlet Pekak, jurulatih pendengaran dan jurubahasa isyarat,” katanya.
Tokyo 2025 bakal menjadi Deaflympics terbesar dalam sejarah dengan hampir 6,000 peserta, termasuk 3,081 atlet dari 81 negara dan wilayah berhimpun di Tokyo.
Menyuntik semangat atlet, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebelum ini mengumumkan insentif kemenangan sebanyak RM80,000 (emas), RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa).
Lebih daripada sekadar memburu pingat, temasya di Tokyo membawa misi lebih besar, mengangkat martabat atlet Pekak Malaysia serta memperkukuh peranan sukan sebagai platform inklusif, pemerkasaan dan perpaduan nasional.
Presiden MSDeaf, Dr Ong Shin Ruenn pula menyifatkan atlet negara bukan sahaja mewakili Malaysia, tetapi membawa harapan seluruh komuniti Pekak.
"Tokyo 2025 bukan semata-mata mengenai pingat, tetapi bukti bahawa sukan Pekak Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia," katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - MSDEAF