SHAH ALAM - Kelab Selangor Soccer Fan Club (SSFC) tampil menegaskan pendirian tegas menolak sebarang bentuk vandalisme, provokasi dan pergaduhan yang dilakukan penyokong bola sepak ketika perlawanan berlangsung di dalam stadium.
SSFC dalam kenyataan rasmi berkata, kelab itu menegaskan tindakan tidak beradab seperti membaling mercun, botol air atau apa sahaja objek yang boleh mendatangkan kecederaan bukan sahaja mencemarkan nama baik pasukan, malah mengancam keselamatan penyokong lain selain memberi imej buruk kepada sukan bola sepak tanah air.
SSFC turut merujuk insiden terbaru membabitkan perlawanan antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC, di mana segelintir penyokong didapati bertindak membaling objek sehingga menyebabkan Selangor FC dikenakan denda sebanyak RM100,000.
"Tindakan itu jelas menjejaskan reputasi pasukan serta penyokong yang selama ini mematuhi undang-undang dan etika sorakan.
"Sehubungan itu, SSFC menyeru semua penyokong agar lebih matang serta menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran. Individu yang terlibat perlu sedar bahawa tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak memberi sebarang faedah sebaliknya merugikan pasukan yang mereka cintai," kata kenyataan itu.
Katanya, SSFC juga berharap pihak berkuasa serta badan bola sepak berkaitan dapat menjalankan siasatan secara telus agar tindakan tegas dapat diambil demi menjaga integriti sukan.
Dalam masa sama, SSFC komited untuk terus menyokong usaha mewujudkan suasana stadium yang selamat, harmoni dan penuh semangat kesukanan, selain percaya sokongan secara profesional adalah kunci utama pembangunan bola sepak yang lebih berkualiti. -DETIK MALAYSIA