KUALA LUMPUR – Selangor FC menerima hukuman berat apabila diarahkan beraksi tanpa penonton dalam dua perlawanan selain dikenakan denda RM100,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan insiden kekecohan penyokong ketika aksi suku akhir Piala FA Malaysia 2025/26 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ pada 29 Oktober lalu.
Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat khas pertama jawatankuasa berkenaan bagi penggal 2025–2029 pada 14 November.
Berdasarkan hasil siasatan terperinci FAM, Selangor FC didapati bersalah atas lima kesalahan membabitkan salah laku penyokong dan kegagalan aspek penganjuran perlawanan.
Antara kesalahan itu termasuklah tindakan membaling suar ke arah penyokong pelawat dengan dua bahan letupan dilaporkan meletup, kerusi serta botol air dibaling sehingga mencederakan dua penyokong Negeri Sembilan, selain insiden di kawasan VVIP apabila individu berkait pasukan tuan rumah dilihat melempar bekas plastik berisi air ke arah keluarga pemain lawan.
Provokasi antara kedua-dua pihak penyokong turut mencetuskan ketegangan, manakala kegagalan Selangor FC mematuhi prosedur keselamatan, kawalan penonton dan kerjasama dengan pihak berkuasa menambahkan lagi keseriusan pelanggaran tersebut.
Susulan itu, Selangor FC diarahkan beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam dua perlawanan iaitu aksi separuh akhir kedua Piala FA Malaysia 2025/26 menentang Sabah FC pada 30 November ini serta satu perlawanan pertama di tempat sendiri bagi kempen Piala FA Malaysia 2026/27.
Selain itu, FAM turut mengenakan denda RM100,000 atas kesalahan berulang di bawah Artikel 42 sekali gus memperlihatkan ketegasan badan induk itu terhadap insiden kekacauan serta kecuaian penganjuran.
FAM turut memberi amaran hukuman lebih berat termasuk penggantungan penyertaan berpotensi dikenakan sekiranya insiden serupa berulang.
Foto kredit - SFC