PETALING JAYA- Derbi Borneo kembali menjadi tumpuan minggu ini apabila DPMM FC bersiap sedia untuk berkunjung ke Stadium Negeri bagi menentang pasukan gergasi, Kuching City FC.
Lebih utama daripada sasaran lain, tonggak pertahanan Fairuz Zakaria menegaskan bahawa fokus utama pasukan adalah untuk tidak pulang dengan tangan kosong.
“Sasaran pasukan kami hanya ingin membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Brunei meskipun sedar ancaman yang bakal dihadapi.
“Semua pemain Kuching perlu kami awasi dan itu menjadi cabaran utama kerana momentum mereka sekarang berada di tahap positif,” tegas Fairuz sambil menyifatkan Kuching City sebagai pasukan yang kini berada dalam prestasi terbaik.
Tambah Fairuz, dia tidak menafikan bahawa memori pahit kekalahan 1-7 kepada The Cats dalam saingan Piala FA tempoh hari menjadi titik kebangkitan buat DPMM FC.
"Kekalahan di Piala FA itu saya letakkan sebagai satu titik noktah supaya pasukan terus ke hadapan dan bersaing untuk mencapai kemenangan kedua di Liga Super,” jelasnya.
Pertembungan kali ini bukan mengenai misi balas dendam, namun satu kebangkitan dan pemulihan prestasi pasukan mereka yang kini berada di tangga ke-11 Liga Super.
Mengulas aspek yang perlu ditambah baik, tonggak DPMM itu menegaskan bahawa pentingnya sikap berkerja keras dalam sesuatu permainan.
“Kami perlu bekerja lebih keras untuk mencapai keputusan positif. InsyaAllah, saya rasa perlawanan dengan Kuching ini kami akan mendapat result yang positif sekurang-kurangnya bawa pulang satu mata,” katanya.
Perlawanan Derbi Borneo antara Kuching City FC dan DPMM FC ini bakal berlangsung di Stadium Negeri, Kuching pada 22 November (Sabtu) jam 9 malam. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - DPMM FC