ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menzahirkan rasa bangga dengan persembahan luar biasa anak buahnya selepas membelasah Sabah FC 8-0 dalam aksi Liga Super 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, malam Isnin.
Menurut Xisco, semua pemain menunjukkan komitmen tinggi sejak wisel pertama hingga terakhir dengan mempamerkan intensiti permainan dan rentak menyerang yang menghiburkan penyokong.
“Dari minit pertama hingga terakhir, semua pemain memberi 100 peratus usaha. Mereka fokus pada setiap detik, menguasai permainan dan mencipta banyak peluang. Saya fikir peminat yang hadir cukup terhibur dengan persembahan ini.
“Kemenangan ini adalah hasil kerja keras serta disiplin pasukan, dan kami perlu terus mengekalkan momentum ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai moral pasukan selepas tewas kepada Butiran United dalam aksi Liga Juara-Juara AFC sebelum ini, Xisco menegaskan skuad Harimau Selatan perlu mengekalkan semangat dan konsistensi tanpa mengira keputusan.
“Kami mesti terus berusaha setiap hari, tidak kira menang atau kalah. Fokus kami hanya pada perkembangan pasukan,” ujarnya.
Xisco turut memuji persembahan Ager Akethe yang mengawal bahagian tengah dengan baik selain gembira dengan semangat juang semua pemain yang menurutnya semakin serasi dari hari ke hari.
Sementara itu, beliau mengesahkan tonggak pertahanan, Matthew Davies kini menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan kecederaan dan dijangka kembali bersama skuad tidak lama lagi.
Dalam aksi tersebut, penyerang import prolifik, Bergson da Silva turut dipuji selepas kembali menemui sentuhan jaringan yang kini melakar rekod baharu jaringan terbanyak Liga Super.
“Kami bertuah mempunyai ramai pemain berkualiti. Apa yang penting ialah pengorbanan dan kerja keras mereka untuk pasukan.
“Perlawanan akan datang lebih mencabar termasuk aksi Liga Juara-Juara. Jadi kami perlu menguruskan jadual padat dan memberi ruang untuk pemain melakukan pemulihan,” kata Xisco.
JDT akan berdepan jadual padat di peringkat benua kelab Asia menentang Bangkok United dan Machida Zelvia minggu hadapan. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - JST