ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny mengakui skuad kendaliannya banyak dipelajari selepas dibaham Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kekalahan besar 0-8 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Menurut De Marigny, kelemahan utama Sabah ialah gagal menyaingi penguasaan Harimau Selatan di bahagian tengah sehingga memberi ruang besar untuk lawan menguasai permainan.
“Sejujurnya kami tidak menjangka keputusan sebegini. Tetapi ia sebahagian daripada bola sepak, ada kalanya kita terpaksa menerima kekalahan yang besar sebagai pengajaran.
“Separuh masa pertama kami terlalu ketinggalan, khususnya di kawasan tengah. JDT bijak mencipta ‘overload’ dan dari situ mereka banyak lakukan ancaman serta berjaya menembusi kami.
“Namun saya tetap beri kredit kepada pemain kerana mereka tetap cuba memberi tentangan meskipun perlawanan sudah sukar dikawal,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan, Sabah perlu segera bangkit dan melakukan penilaian semula sebelum menghadapi aksi seterusnya.
“Kami perlu ‘reset’ segera, kembali fokus kepada struktur permainan dan bagaimana mahu bertahan serta menyerang dengan lebih baik. Ada banyak pengajaran untuk pemain dan juga staf kejurulatihan.
“Dalam bola sepak, prosesnya sama-sama ada menang, seri atau kalah. Kami akan analisis semula dan pastikan aksi seterusnya lebih baik,” jelasnya.
Kekalahan itu menyaksikan Sabah terperosok ke tangga 10 liga dengan hanya mengutip tiga mata sekali gus menambah tekanan buat De Marigny yang mengakui pasukan perlu segera menampilkan aksi lebih konsisten. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Sabah Football Club