KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyifatkan Kejohanan WKF Karate 1 Series A Kuala Lumpur 2025 yang akan berlangsung di Nilai awal bulan depan sebagai platform terbaik buat atlet karate Malaysia untuk meraih pengalaman berharga menjelang temasya Sukan SEA di Thailand.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung di N9 Arena, Nilai dari 3 hingga 5 Oktober ini dilihat sebagai batu loncatan penting khususnya buat skuad pelapis kebangsaan untuk mengasah kemahiran, membina keyakinan di pentas antarabangsa dan memburu kedudukan podium di Thailand.
Menurut Hannah, peluang menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini amat penting kerana ia memberi pendedahan sebenar kepada atlet muda sebelum mereka berdepan cabaran lebih besar di peringkat serantau, benua dan dunia.
“Apabila kita bawa kejohanan bertaraf antarabangsa ke Malaysia, lebih ramai atlet akan berpeluang mengutip pengalaman berharga. Pendedahan itu sangat kritikal. Biasanya, apabila mereka bertanding di luar negara, rasa gementar itu tinggi. Tetapi apabila Melaka menjadi tuan rumah kejohanan dua tahun lalu, ia benar-benar membantu atlet kita menghadapi Sukan Asia Hangzhou.
“Mereka yang bertanding di Melaka telah mendapat pengalaman dan akhirnya menyumbang pingat buat negara di Hangzhou,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Karate KLAS di Seri Kembangan, di sini pada Ahad.
Seminar dua hari itu dikendalikan oleh legenda karate dunia, Rafael Aghayev dari Azerbaijan, dan turut dihadiri Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.
Aghayev, juara dunia lima kali dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, turut bersetuju dengan pandangan Hannah.
“Sekurang-kurangnya setiap tiga bulan, atlet Malaysia perlu diberi peluang bertanding di peringkat antarabangsa. Latihan itu penting, tetapi pertandingan memberi pengalaman sebenar. Lebih banyak kejohanan yang mereka sertai, lebih cepat mereka berkembang,” kata atlet berusia 40 tahun itu.
Sementara itu, Hannah turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan MAKAF dalam menganjurkan kejohanan ini dengan lancar, berdasarkan kejayaan mereka menganjurkan Kejohanan Karate Asia ke-19 pada 2023.
“Saya percaya mereka mempunyai pengalaman untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa, dan saya yakin segalanya akan berjalan lancar,” tambahnya.
Kejohanan WKF Karate 1 Series A Kuala Lumpur 2025 dianjurkan secara bersama oleh Persekutuan Karate Dunia (WKF) dan MAKAF, melibatkan penyertaan lebih 1,000 atlet elit dari seluruh dunia dalam acara Kumite dan Kata.
Pusingan Kuala Lumpur ini merupakan pusingan keempat dan terakhir dalam siri WKF K1 Series A bagi tahun 2025, selepas penganjuran di Tbilisi (Georgia) pada Januari, Larnaca (Cyprus) pada Februari, dan Salzburg (Austria) pada September.
WKF K1 Series A merupakan kejohanan tahap kedua dalam struktur liga WKF, merangkumi siri pertandingan antarabangsa bertaraf tinggi yang diadakan di seluruh dunia. - DETIK MALAYSIA