SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melakukan ‘terjahan keras’ terhadap Donald Trump apabila mengecam kenyataan menghina Somalia yang dikeluarkan bekas Presiden Amerika Syarikat itu baru-baru ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja memperlekeh negara Afrika Timur itu, malah menunjukkan hipokrasi kuasa besar yang kononnya bersih daripada mencorakkan ketidakstabilan negara lain.
Menurut beliau, Trump seolah-olah lupa sejarah hitam Amerika Syarikat ketika pencerobohan ketenteraan era 1990-an, termasuk tragedi Black Hawk Down yang meragut nyawa orang awam, merosakkan struktur sosial dan membawa kepada konflik berlarutan sehingga hari ini.
“Trump bercakap seperti Somalia runtuh sendiri, sedangkan dunia masih mengingat siapa yang menyumbang kepada penderitaan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, tindakan Trump menggunakan Somalia sebagai bahan politik adalah sikap tidak bertanggungjawab, apatah lagi sebuah negara yang majoritinya Muslim, berdepan kemiskinan dan sering menjadi sasaran campur tangan luar.
Katanya, kenyataan itu melambangkan politik merendahkan maruah negara lain, tanpa mengambil tanggungjawab di atas kerosakan sejarah yang dicetuskan sendiri oleh kuasa besar tersebut.
Menurut Azmi, Somalia layak disokong untuk bangkit membina semula negara, bukan dijadikan bahan ejek atau nilai tambah politik bagi pemimpin luar.
“Somalia berhak mendapat keadilan, sokongan dan penghormatan. Bukan penghinaan,” tegasnya.
Ujarnya, Mapim mengulangi komitmen berdiri teguh bersama rakyat Somalia dan menolak sebarang bentuk manipulasi serta campur tangan tidak sah yang menghakis maruah negara tersebut. - DETIK MALAYSIA
