NAKHON PATHOM, Thailand - “Ini bukan sekadar kejohanan, tetapi kejayaan keluarga ASEAN.
Demikian kata Technical Delegate, Datuk Abdul Halim Kader ketika merasmikan Mesyuarat Pengurus Pasukan Sepaktakraw & Chinlone SEA Games 2025 yang berlangsung di Mida Grande Hotel, Nakhon Pathom, malam tadi.
Mesyuarat yang menghimpunkan wakil 10 negara peserta itu menandakan permulaan rasmi persediaan teknikal dan pengesahan pertandingan menjelang sepak mula temasya yang bakal berlangsung di Bangkok dan Nakhon Pathom.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden ISTAF, Boonchai Lorphipat; Setiausaha Agung TAT, Dr. Srihasak; Gabenor Nakhon Pathom, timbalannya serta Pengurus Venue, Veradith.

Kesemua VIP menyampaikan ucapan ringkas sebelum berlangsung sesi bergambar rasmi bersama pengurus pasukan, pegawai teknikal serta pengadil.
Dalam mesyuarat itu, penganjur mengesahkan pasukan Kemboja menarik diri secara mendadak sekali gus memberikan kemenangan walkover 3–0 kepada lawan dalam jadual asal.
“Keputusan ini adalah muktamad untuk tujuan penjadualan dan kelancaran saingan,” kata Abdul Halim yang turut menegaskan semua negara perlu menghantar pasukan tepat pada masa bagi mengelakkan tindakan teknikal.
Beliau turut mengingatkan setiap pasukan agar tiba sekurang-kurangnya satu jam sebelum perlawanan serta memastikan pendaftaran pemain hanya dilakukan oleh pengurus pasukan sahaja.
Abdul Halim turut memberi amaran keras berkaitan disiplin dalam kalangan atlet serta pegawai, terutama melibatkan kenyataan media sosial.
“Jangan membuat kenyataan negatif terhadap tuan rumah. Thailand kini sedang berhadapan situasi bencana, dan apa-apa komen yang menyentuh sensitiviti boleh membawa kepada penggantungan automatik,” katanya.
Menurutnya, penganjur juga menegaskan larangan keras terhadap serangan kepada pengadil, penstriman perlawanan tanpa kebenaran dan unsur match-fixing.
Selain itu, Challenge Camera akan diguna pakai seperti kejohanan terdahulu manakala anti-doping dilaksanakan sepenuhnya.
Sementara itu, pasukan pengadil dilaporkan telah melakukan pemeriksaan venue dan mengesahkan gelanggang pertandingan dalam keadaan terbaik.

"Antara fasiliti yang turut disahkan ialah ruang solat, bilik pasukan, laluan pegawai serta sistem penyiaran acara.
"Pasukan LO yang terdiri daripada pelajar universiti tempatan akan membantu urusan logistik, termasuk penyediaan makanan, manakala urusan staging dikendalikan Salim dari Singapura dan Wan Husni dari Malaysia," jelasnya.
Beliau turut mengingatkan semua atlet juga diwajibkan memakai pakaian rasmi kontinjen ketika upacara penyampaian pingat.
Majlis malam tadi turut mencatat sejarah apabila Presiden Persatuan Sepaktakraw Timor Leste menyampaikan ucapan rasmi bersempena penyertaan pertama negara itu dalam sejarah Sukan SEA.
“Ini bukan hanya peluang, tetapi satu penghormatan buat kami,” katanya sambil menyifatkan platform itu sebagai pemangkin kemajuan sukan sepaktakraw negaranya.
Tambahnya, penyertaan negara tersebut direalisasikan hasil bantuan Malaysia dan Thailand. Malaysia melalui Wisma Putra menyediakan tiket penerbangan pemain Timor Leste, sementara Jawatankuasa Olimpik Thailand menanggung penginapan sepanjang kejohanan.
“Ini adalah kejayaan keluarga ASEAN. Inilah semangat sebenar sukan,” ujar Abdul Halim. - DETIK MALAYSIA
