SEPANG - Sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang disambut setiap 9 Disember, syarikat penerbangan bertaraf dunia, AirAsia, berkolaborasi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan program Allstars International Anti-Corruption Day 2025.
Program ini melibatkan lebih 100 Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan staf Capital A Berhad serta AirAsia X, sebagai usaha memperkukuh integriti dan mewujudkan persekitaran kerja bebas rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes dalam ucapan menekankan budaya kerja yang jujur dan telus sebagai prinsip utama integriti sesebuah organisasi.
Beliau juga menegaskan komitmen syarikat terhadap kempen Keep Malaysia Clean (KMC) yang diperkenalkan oleh SPRM, memfokuskan tiga elemen utama iaitu nilai murni, masyarakat murni dan alam murni.

Tan Sri Tony turut memimpin lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail.
Acara turut diserikan dengan sesi taklimat KMC bertajuk Clean Economic Ecosystem oleh Pengerusi PPPR SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican, serta forum integriti “Integrity – How does it concern me?”.
Forum tersebut menampilkan PKPj Westmoreland Ajom, Danny Ebinesan, Ketua Kumpulan Risiko, dan Ong Kean Siang sebagai panelis, yang menekankan kepentingan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, polisi pendedahan salah laku dan deklarasi hadiah, serta pengawasan dalaman yang mantap.
Penganjuran HARA dan majlis IBR ini secara tidak langsung mengukuhkan imej Capital A dan AirAsia X sebagai organisasi yang proaktif menyokong agenda antirasuah negara serta komited menegakkan tadbir urus berintegriti dalam operasi mereka.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun, dan Pengerusi AirAsia X, Dato’ Fam Lee Ee. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - SPRM