BANGKOK – Pelari remaja sensasi Thailand, Puripol “Bew” Boonson sekali lagi membuktikan statusnya sebagai raja pecut Asia Tenggara apabila menjuarai final 100 meter lelaki SEA Games 2025 di Stadium Supachalasai, semalam.
Aksi dramatik itu menyaksikan atlet berusia 18 tahun tersebut melakukan permulaan agak perlahan sebelum meledak dengan pecutan penghujung yang menjadi ‘trademark’ dirinya untuk memintas pelari lain dan menamatkan larian dengan catatan 10.00 saat.
Kemenangan itu sekaligus memahat namanya sebagai antara pelari muda paling berbisa di rantau ini.
Pelari Indonesia, Muhammad Lalu Zohri, meraih perak dengan catatan 10.25s, manakala wakil Malaysia, Muhammad Rosli Danish, mempamerkan saingan sengit sebelum mengutip gangsa apabila mencatat 10.26s.
Lebih sensasi, Puripol turut mencipta sejarah baharu SEA Games apabila mencatat 9.94s pada pusingan kelayakan awal bukan sahaja rekod baharu temasya, malah menjadikannya atlet ASEAN pertama mencecah bawah 10 saat dalam acara 100m di pentas ini.
Catatan itu memadam rekod lama 10.17s milik pelari Indonesia, Suryo Agung Wibowo yang bertahan sejak 2009. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - AFP