KUALA LUMPUR – KL City FC mara ke suku akhir Piala Malaysia 2025/26 selepas mencipta kebangkitan dramatik menewaskan Perak FC 3-2 secara agregat dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, The City Boys bangkit cemerlang selepas tewas dua gol pada perlawanan pertama untuk menafikan impian skuad Seladang.
Ketua jurulatih KL City mempertaruhkan Quincy Kammeraad selaku penjaga gol utama, manakala Paulo Josué diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai kapten dengan Safawi Rasid mengetuai jentera serangan.
Sejak sepak mula, KL City tampil agresif apabila asakan bertali arus dilancarkan menerusi Safawi dan Zhafri Yahya bagi memburu jaringan awal.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-25 namun rembatan kencang Zhafri berjaya ditepis kemas oleh penjaga gol Perak, Syazwan Syazany. Usaha Gorka Larrucea sebelum rehat juga gagal menemui sasaran.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-56 apabila Safawi tenang menyempurnakan sepakan penalti sekali gus merapatkan kedudukan agregat.
Ketika Perak dilihat hampir mempertahankan kelebihan mereka, Paulo Josué muncul wira KL City apabila meledak sepakan percuma cantik pada minit ke-90 untuk mengikat agregat dan memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Momentum terus memihak kepada tuan rumah apabila Nicolao Cardoso meledak gol kemenangan pada minit ke-105 menerusi rembatan padu yang menewaskan Syazwan.
Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 3-2 memihak KL City.
KL City dijadual bertemu Terengganu FC pada aksi suku akhir selepas skuad Pantai Timur itu mengesahkan kemaraan mereka dengan menyingkirkan UM-Damansara sebelum ini. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - KL City FC