KUALA LUMPUR – Penantian peminat sukan permotoran tanah air akhirnya terjawab apabila pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish, diumumkan sebagai wildcard untuk kelas Moto3™ pada perlumbaan berprestij PETRONAS Grand Prix Malaysia 2025 yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober depan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Perkara itu disahkan oleh PETRONAS SIC menerusi pengumuman rasmi hari ini sekali gus menambah keterujaan peminat yang pastinya mahu menyaksikan aksi anak jati Malaysia itu berentap bersama pelumba terbaik dunia di laman sendiri.
“Our Wildcard, Our Pride. Kasi Gegar, Hakim Danish!” tulis kenyataan SK Racing di Facebook bagi meraikan berita bersejarah tersebut.
Sebagai tambahan, dokumentari eksklusif Hakim Danish: Jejak Sang Juara turut ditayangkan dengan episod pertama dilancarkan pada jam 8 malam ini di semua platform media sosial SIC.
Kehadiran Hakim Danish sebagai pelumba wildcard pastinya memberi suntikan semangat baharu kepada peminat tempatan yang saban tahun menantikan wakil Malaysia tampil bersaing dalam kejohanan motosikal paling berprestij dunia itu. - DETIK MALAYSIA
