SHAH ALAM – Kerajaan digesa supaya bertindak tegas terhadap isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan serta tidak berkompromi dengan sebarang tuntutan menggantikan tapak baharu bagi pembinaan yang menyalahi undang-undang.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memandang serius isu pembinaan rumah ibadat secara haram yang semakin menimbulkan polemik dalam masyarakat.
Menurut beliau, isu tersebut tidak wajar dilihat sebagai usaha menafikan kebebasan beragama, sebaliknya berkait rapat dengan kedaulatan undang-undang serta keadilan dalam pentadbiran negara.
“Ini bukan soal menyekat kebebasan beragama. Ia adalah soal pematuhan undang-undang dan keadilan pentadbiran yang mesti ditegakkan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa prinsip utama yang perlu dipertahankan ialah undang-undang tidak boleh dirunding selepas ia dilanggar.
“Pembinaan tanpa kelulusan merupakan satu pelanggaran nyata. Jika setiap pelanggaran diberikan ganjaran dalam bentuk tapak baharu, maka undang-undang tidak lagi berfungsi sebagai peraturan bersama, sebaliknya menjadi alat tawar-menawar,” jelasnya.
Mohd Azmi turut memberi amaran bahawa sebarang kompromi selepas berlakunya pelanggaran undang-undang boleh mencipta preseden berbahaya.
“Ia menghantar mesej bahawa melanggar undang-undang adalah jalan pintas untuk mendapatkan pengiktirafan. Keadaan ini melemahkan autoriti kerajaan dan membuka ruang manipulasi pada masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, keadilan perlu dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Jika rakyat biasa dikenakan tindakan atas kesalahan kecil, namun pembinaan haram berskala besar pula diberi pampasan, maka prinsip keadilan telah diputarbelitkan,” ujarnya.
Menurut beliau, tanggungjawab mendapatkan kelulusan sepenuhnya terletak di bahu pihak pembina dan tidak boleh dipindahkan menjadi beban kerajaan atau rakyat.
“Kegagalan mematuhi prosedur tidak boleh dijadikan alasan untuk menuntut pampasan. Akauntabiliti mesti kekal kepada pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keharmonian sosial hanya dapat dibina melalui kejelasan peraturan, bukannya kelonggaran terpilih.
“Ketegasan yang adil mampu mengelakkan ketegangan antara komuniti. Sebaliknya, kekaburan dasar dan kompromi politik sering menjadi punca konflik,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim mencadangkan beberapa langkah yang wajar diambil kerajaan, antaranya menguatkuasakan undang-undang secara konsisten dan berfasa tanpa provokasi, selain menjelaskan dasar nasional secara terbuka bagi mengelakkan salah tafsir.
Kerajaan juga disaran membezakan dengan jelas antara kebebasan beragama dan pelanggaran pentadbiran, serta menghentikan amalan pampasan automatik terhadap kes pembinaan haram.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata kerajaan yang adil tidak seharusnya bersikap keras secara membuta tuli, namun dalam masa sama tidak boleh tunduk kepada tekanan selepas undang-undang dicabuli.
“Ketegasan berprinsip adalah asas kepada keharmonian jangka panjang negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA