KUALA LUMPUR – Pemilik kereta mewah diingatkan supaya melangsaikan cukai jalan masing-masing selepas Kementerian Pengangkutan mendedahkan jumlah tunggakan mencecah hampir RM35.7 juta melibatkan kurang daripada 10,000 kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan melalui dasar baharu Budi95 telah menyediakan subsidi petrol kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki MyKad serta lesen memandu.
Justeru, golongan berpendapatan tinggi juga wajar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya ingin mengingatkan golongan ultra kaya ini bahawa mereka juga ada tanggungjawab. Kerajaan cukup bermurah hati beri subsidi kepada semua, termasuk pemilik kereta mewah, tetapi mereka wajib perbaharui cukai jalan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurut Loke, data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan lima jenama kereta mewah paling tinggi mencatat tunggakan.
“Antara jenama yang mencatat tunggakan paling tinggi ialah Rolls Royce dengan 345 unit berjumlah RM6.45 juta, diikuti Lamborghini sebanyak 372 unit (RM3.76 juta), Bentley 660 unit (RM7.05 juta), Ferrari 675 unit (RM4.71 juta) dan Porsche sebanyak 4,308 unit (RM13.75 juta),” katanya.
“Tunggakan daripada lima jenama ini sahaja sudah mencecah RM35.7 juta,” katanya.
Beliau mendedahkan ada pemilik kereta sengaja menangguh pembayaran sehingga enam bulan hingga setahun, malah ada yang menunggu kenderaan mereka disita kerana beranggapan kompaun RM300 lebih berbaloi.
“Malah ada selebriti yang ditahan ketika operasi, dengan alasan mudah lupa. Ada juga kes tertunggak sampai tiga tahun,” jelasnya.
Sehubungan itu, JPJ melancarkan operasi khas dikenali sebagai Ops Luxury untuk menyita mana-mana kenderaan mewah yang tidak memiliki cukai jalan atau insurans sah.
“Kami ada semua nama dan maklumat, termasuk Tan Sri, ahli politik, ahli perniagaan dan individu ternama. Jika perkara ini berlarutan, kerajaan tidak teragak-agak ambil tindakan lebih drastik,” tegasnya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ministry of Transport Malaysia
