PETALING JAYA – Selangor FC mengesahkan slot ke peringkat seterusnya Shopee Cup 2025/26 selepas mengikat BG Pathum United 1-1 dalam aksi Kumpulan di Stadium MBPJ, di sini, malam tadi.
Lebih manis, kemaraan itu dicapai dalam keadaan mencabar apabila The Red Giants terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan.
Selangor menurunkan penjaga gol muda, Kalamullah Al-Hafiz dengan kapten pasukan disandang oleh tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim. Di bahagian serangan, gandingan Alvin Fortes dan Chrigor Moraes diberi tanggungjawab menggempur kubu pelawat.
BG Pathum pula mempertaruhkan penjaga gol, Saranon Anuin selain barisan bintang termasuk penyerang Singapura, Ikhsan Fandi dan pemain kreatif Thailand, Chanathip Songkrasin.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Selangor bermula garang apabila Faisal dan Chrigor beberapa kali menguji benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun, rentak permainan berubah pada minit ke-25 apabila Fortes dilayangkan kad merah terus selepas melakukan terjahan keras terhadap kapten BG Pathum, Kritsada Kaman.
Walaupun tempang, Selangor tidak panik dan terus melawan. Hasilnya, pada minit ke-35, Faisal Halim meledak gol pembukaan menerusi penyudah tenang yang menggamatkan stadium. Selangor masuk ke bilik persalinan dengan kelebihan 1-0.
Bersambung babak kedua, BG Pathum meningkatkan asakan bertali arus. Kalamullah menjadi wira apabila melakukan beberapa siri penyelamatan penting termasuk menafikan percubaan berbahaya Tomoyuki Doi.
Namun, kubu Selangor akhirnya bocor pada minit ke-63 apabila pertahanan, Richmond Ankrah tertampan bola ke gawang sendiri dalam usaha menghalang serangan pelawat.
BG Pathum terus memburu gol kemenangan dengan Chatmongkol Tongkiri terkena palang pada minit ke-68, manakala tandukan padu Ikhsan Fandi sekali lagi dinafikan kecemerlangan Kalamullah.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan kemaraan Selangor ke peringkat seterusnya Shopee Cup. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC