SEPANG – Ujian pramusim MotoGP 2026 hari kedua di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan kebangkitan dramatik Honda apabila juara dunia 2020, Joan Mir mencipta masa terpantas dan menjadi pelumba Honda pertama memecahkan tembok 1 minit 57 saat.
Mengambil kesempatan terhadap keadaan litar yang lebih sejuk pada sebelah pagi, Mir yang mewakili pasukan Honda HRC Castrol merekodkan catatan sensasi 1:56.874, sekali gus mendahului carta masa keseluruhan hari kedua.
Bukan sekadar terpantas, catatan itu turut mencipta sejarah apabila menjadi kali pertama jentera Honda RC213V mencecah lingkungan 1:56 di Sepang, petanda jelas bahawa pembangunan jentera musim sejuk Honda mula membuahkan hasil.
Rakan sepasukannya, Luca Marini menamatkan sesi di kedudukan ke-11 keseluruhan, manakala kem LCR Honda menyaksikan pendatang baharu Diogo Moreira berdepan cabaran besar apabila terpaksa mengharungi sesi basah selepas hujan pada sebelah petang.
Bagaimanapun, hari kedua ujian tersebut turut dibayangi masalah besar di kem Yamaha. Selepas Fabio Quartararo menarik diri ekoran kemalangan pada hari pertama dan isu enjin berasingan, Yamaha mengambil keputusan mengejut untuk tidak menurunkan sebarang jentera pada hari Rabu.
Ini termasuk jentera Alex Rins, Jack Miller dan Toprak Razgatlioglu yang langsung tidak keluar dari garaj.
Yamaha mengesahkan mereka sedang menyiasat isu yang diketahui melibatkan enjin V4 baharu, namun punca sebenar masih belum dikenal pasti. Dengan baki hanya satu hari ujian, program pembangunan mereka kini berdepan tekanan masa yang semakin mencemaskan. – DETIK MALAYSIA
Top 5 Ujian Sepang Hari Kedua:
Joan Mir (Honda HRC Castrol) – 1:56.874
Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46) – 1:56.983 (+0.109)
Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46) – 1:57.049 (+0.175)
Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory) – 1:57.116 (+0.242)
Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) – 1:57.126 (+0.252)
Kredit foto – MotoGP