QINGDAO – Impian skuad lelaki negara untuk mengulangi pencapaian podium pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 berkecai selepas tewas 0-3 kepada Jepun pada aksi suku akhir di sini, semalam.
Perlawanan dimulakan dengan pertarungan sengit antara perseorangan utama negara, Justin Hoh dan pemain No.19 dunia dari Jepun, Yushi Tanaka. Walaupun mempamerkan kebangkitan memberangsangkan pada set kedua dengan menyelamatkan mata perlawanan sebelum memaksa set penentuan, Justin akhirnya akur 17-21, 22-20, 11-21.
Kekalahan itu juga menjadi yang ketiga berturut-turut buat Justin kepada Tanaka.
Harapan untuk bangkit menerusi beregu turut tidak kesampaian apabila gandingan Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King gagal menyaingi kehebatan pasangan Jepun yang juga bekas juara dunia 2021, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi. Beregu No.9 dunia itu mempamerkan permainan pantas dan kemas untuk menang selesa 21-14, 21-12 dalam tempoh 35 minit.
Ketinggalan 0-2, Aidil Sholeh memikul tugas berat untuk menghidupkan peluang Malaysia. Aidil bermula garang dengan memenangi set pertama 22-20 ke atas Koki Watanabe, namun pemain No.23 dunia itu pantas mengubah rentak permainan sebelum menutup aksi dengan kemenangan 11-21, 3-21 sekali gus mengesahkan tiket Jepun ke separuh akhir.
Tersingkir di Qingdao bukan sahaja menamatkan cabaran Malaysia di BATC 2026, malah menyaksikan skuad negara gagal layak merit ke Piala Thomas di Denmark, Mei depan.
Bagaimanapun, Malaysia masih berpeluang beraksi di pentas berprestij itu berdasarkan kedudukan ranking berpasukan dunia dalam kelompok 10 terbaik, yang hampir pasti menjamin slot sebagai salah satu daripada tiga pasukan terbaik yang tidak layak menerusi kejohanan benua. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Badminton Asia