SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya pendedahan terbaharu yang mengesahkan bahawa Israel secara sistematik menggunakan senjata pemusnah termal berintensiti tinggi di Gaza sehingga menyebabkan ribuan rakyat Palestin ‘lenyap’ tanpa jasad untuk dikebumikan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, siasatan mendalam oleh Al Jazeera yang diterbitkan pada 10 Februari 2026 mendokumentasikan penggunaan peluru termal dan termobarik yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat, yang menghasilkan suhu melebihi 3,500 darjah Celsius dan menyebabkan hampir 3,000 rakyat Palestin hilang tanpa jejak fizikal.
Menurut beliau, perkara ini bukan retorik politik, tetapi realiti forensik berdasarkan bukti di lapangan.
“Ini bukan pembunuhan dalam pengertian konvensional. Mereka bukan sekadar terbunuh atau tertimbus dan mereka dihapuskan secara kimia. Ini bukan angka propaganda, tetapi nama tanpa jasad, ibu tanpa kubur dan anak tanpa kafan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi menjelaskan bahawa pasukan Pertahanan Awam Gaza merekodkan 2,842 rakyat Palestin yang “terwap” sejak Oktober 2023 berdasarkan pengesahan tapak kejadian, testimoni mangsa yang terselamat serta bukti biologi seperti percikan darah dan serpihan tisu.
Beliau menegaskan bahawa siasatan itu turut mengesahkan penggunaan senjata yang dilarang di peringkat antarabangsa, termasuk bom MK-84, peluru penembus kubu BLU-109 dan bom luncur GBU-39, yang direka untuk membakar, melemas dan mengwapkan tubuh manusia dalam beberapa saat.
“Ini bukan sekadar peperangan. Ia melangkaui konflik, melangkaui pendudukan dan melangkaui jenayah terhadap kemanusiaan, ia adalah pemadaman terancang terhadap kewujudan manusia,” tegasnya.
Mapim turut menyifatkan tindakan Israel sebagai ciri sebuah “negara pengganas” yang menggunakan senjata tanpa diskriminasi terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Mapim turut mempersoalkan peranan Amerika Syarikat dan sekutu Barat yang membekalkan senjata tersebut, sambil menegaskan bahawa mereka turut memikul tanggungjawab moral dan undang-undang.
“Senjata ini tidak muncul secara kebetulan. Ia dihasilkan, dilesenkan, dihantar dan dibekalkan semula dengan penuh kesedaran terhadap kesannya. Ini menjadikan jenayah di Gaza sebagai jenayah global,” katanya.
Mohd Azmi berkata, kegagalan masyarakat antarabangsa menghentikan keganasan di Gaza, walaupun terdapat langkah sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menunjukkan runtuhnya sistem keadilan global. – DETIK MALAYSIA