KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Unit Integriti (KUI) merupakan komponen kritikal dalam memastikan prinsip tadbir urus, akauntabiliti dan integriti terus terpelihara, khususnya dalam agensi penguatkuasaan serta semua Kementerian dan Jabatan Kerajaan yang diberikan kuasa besar ke atas rakyat.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, penubuhan Unit Integriti dalam sektor awam bukanlah inisiatif bersifat ad hoc, sebaliknya berlandaskan dasar Kerajaan yang jelas melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 yang menjadi asas kewujudan Unit Integriti di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Menurut beliau, kronologi asal pembentukan pekeliling tersebut, termasuk rasional, objektif dan harapan dasar ketika itu, wajar diteliti semula secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan semasa tidak terpesong daripada niat asal Kerajaan dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus perkhidmatan awam.
“Unit Integriti sepatutnya berfungsi sebagai mekanisme pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan dalaman yang berkesan, bebas serta profesional bukan sekadar memenuhi keperluan struktur pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jais menambah bahawa analisis objektif terhadap pencapaian Unit Integriti serta pelaksanaan pelan-pelan pencegahan rasuah sebelum ini perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan jurang pelaksanaan yang memerlukan penambahbaikan.
Beliau menegaskan bahawa peranan KUI adalah bersifat penasihat strategik kepada Ketua Jabatan dalam perkara berkaitan integriti, pematuhan dan tadbir urus, sekali gus membantu membuat keputusan beretika berlandaskan prinsip tadbir urus baik.
Sehubungan itu, MCW berpandangan bahawa KUI tidak wajar dilihat sebagai jawatan pentadbiran biasa, sebaliknya perlu diterajui oleh individu berkelayakan, kompeten dan berintegriti tinggi.
“Tanpa kepimpinan yang berwibawa, Unit Integriti berisiko menjadi sekadar simbol dan bukannya mekanisme semak dan imbang yang berkesan seperti yang dihasratkan sejak 2013,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jais berkata kebimbangan awam yang semakin meningkat terhadap isu integriti dan rasuah dalam sektor awam menuntut pendekatan pencegahan yang lebih sistemik, berasaskan risiko dan realiti semasa.
Beliau turut menggesa agar penilaian menyeluruh dibuat terhadap pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013, termasuk menilai tahap pematuhan agensi, kebebasan operasi Unit Integriti, kompetensi kepimpinan KUI serta impaknya terhadap pencegahan salah laku.
MCW juga mengambil maklum bahawa Kerajaan dijangka membentangkan Pelan Strategik Pencegahan Rasuah 2.0 mulai 2026 dan menegaskan bahawa pelan tersebut perlu mengambil kira keberkesanan peranan Unit Integriti sebagai barisan pertahanan pertama dalam sistem pencegahan rasuah.
Dalam pada itu, MCW menggesa agar pelantikan KUI dibuat berdasarkan kriteria profesional yang jelas dan telus, termasuk latihan khusus dalam bidang integriti, pengalaman mengendalikan kes tatatertib, rekod perkhidmatan bersih serta keupayaan bertindak secara bebas tanpa campur tangan tidak wajar.
Jais menegaskan bahawa agenda integriti tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Unit Integriti semata-mata, sebaliknya Ketua Jabatan perlu menjadikan integriti sebagai amalan kepimpinan harian bagi membentuk budaya kerja berintegriti dalam perkhidmatan awam.
“Integriti tidak boleh dibina melalui retorik atau pelan di atas kertas. Ia memerlukan kepimpinan berprinsip, struktur yang kukuh dan individu yang tepat,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menggesa Kerajaan dan semua agensi penguatkuasaan memastikan pelaksanaan dasar Unit Integriti, penilaian Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 serta pembangunan Pelan Strategik Pencegahan Rasuah 2.0 dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berteraskan merit demi kepentingan negara dan rakyat. – DETIK MALAYSIA