HIROSHIMA – Harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta kejutan di bumi Jepun tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima dalam aksi Liga Champions League Elite (ACL) 2025/26 Zon Barat di Stadium Bola Sepak Hiroshima, semalam.
Perlawanan bermula dengan mengejutkan apabila JDT mendahului seawal minit ketiga menerusi jaringan Marcos Guilherme yang memanfaatkan kesilapan pertahanan tuan rumah. Gol tersebut memberi keyakinan awal kepada skuad kendalian Xisco Munoz, yang kelihatan tenang mengawal tempo permainan.
Bagaimanapun, keadaan berubah pada minit ke-16 selepas pertahanan JDT, Jonathan Silva didapati menghalang percubaan Sota Nakamura menggunakan tangan di dalam kotak penalti. Pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti serta melayangkan kad merah terus kepada Silva. Akito Suzuki menyempurnakan sepakan tersebut dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Bermain dengan 10 pemain lebih 70 minit dalam cuaca sejuk, JDT terpaksa bertahan habis-habisan. Penjaga gol, Andoni Zubiaurre mempamerkan beberapa aksi penyelamatan penting untuk memastikan keputusan kekal seimbang sehingga tamat separuh masa pertama.
Namun, benteng JDT akhirnya roboh sejurus babak kedua bersambung apabila Suzuki sekali lagi menghukum pelawat dengan tandukan kemas pada minit ke-47 untuk meletakkan Sanfrecce di hadapan 2-1.
Walaupun terus diasak “Purple Archers”, JDT enggan menyerah kalah. Munoz memasukkan Ager Aketxe dan Bérgson pada lewat permainan bagi menambah sengat serangan, namun beberapa percubaan balas gagal menembusi pertahanan tuan rumah.
Kekalahan itu menyaksikan JDT kini perlu mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir ACLE menentang Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Februari ini bagi melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST