KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan institusi strategik negara yang mesti dipertahankan, diperkasakan dan dilindungi daripada polemik politik berlebihan yang boleh menjejaskan keyakinan awam serta keberkesanan penguatkuasaannya.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, dalam konteks ini, cadangan penubuhan jawatankuasa baharu untuk memantau SPRM seperti yang dibangkitkan oleh Nurul Izzah Anwar perlu dilihat secara objektif dan berlandaskan realiti struktur sedia ada, bukannya berdasarkan persepsi bahawa agensi itu gagal atau tidak berfungsi.
Menurut beliau, SPRM sebenarnya sudah memiliki mekanisme semak dan imbang yang komprehensif, termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA), serta beberapa panel operasi dan pencegahan yang berfungsi mengikut kerangka undang-undang dan pentadbiran.
“Tindakan mempertikaikan SPRM secara terbuka tanpa bukti muktamad hanya akan melemahkan institusi tersebut, memberi kelebihan kepada pihak yang sedang disiasat, serta menjejaskan moral pegawai-pegawai SPRM yang berdepan tekanan tinggi dan risiko keselamatan dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas pendedahan media antarabangsa melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beliau berkata prinsip asas keadilan mesti dihormati kerana setiap individu berhak kepada penjelasan dan proses sewajarnya, bukannya penghakiman awam melalui naratif politik atau media.
Tambah Jais, sepanjang tempoh perkhidmatan Azam Baki, MCW mengakui bahawa beliau telah memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap kes berprofil tinggi, menunjukkan ketegasan dalam menghadapi tekanan politik dan ekonomi, serta meneruskan agenda pencegahan dan pendidikan antirasuah secara agresif.
Sehubungan itu, MCW menegaskan bahawa sebarang kritikan terhadap institusi penguatkuasaan perlu bersifat membina, berasaskan fakta, dan tidak dijadikan alat untuk mengalihkan perhatian daripada siasatan atau agenda politik sempit.
Jais berkata, pendirian MCW kekal jelas iaitu SPRM mesti diperkasa, bukan dipolitikkan; Ketua Pesuruhjaya perlu dilindungi daripada serangan tidak berasas; manakala reformasi institusi perlu dilakukan secara berperingkat, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
Beliau menegaskan bahawa MCW akan terus berdiri bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah, sambil mengekalkan peranan sebagai pemantau bebas yang adil, bertanggungjawab dan berprinsip demi kepentingan negara. -DETIK MALAYSIA