SHAH ALAM – Kempen pendaftaran pendermaan organ secara besar-besaran oleh rejim Israel mencetuskan kecaman apabila ia dibuat di tengah-tengah dakwaan serius bahawa organ rakyat Palestin di Gaza didakwa dituai tanpa kebenaran.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, usaha Israel untuk memecahkan rekod dunia bagi pendaftaran penderma organ adalah “menjijikkan”, terutama ketika masih berdepan dakwaan serius berkaitan isu penuaian organ di Gaza.
Beliau berkata, kenyataan itu dibuat susulan laporan pegawai perubatan Gaza yang mendapati banyak mayat yang dipulangkan selepas tempoh gencatan senjata menunjukkan tanda-tanda kehilangan buah pinggang serta organ penting lain.
Menurutnya, dakwaan tersebut bukan baharu kerana perkara sama pernah dibangkitkan sebelum ini oleh profesional perubatan Barat dan pemerhati hak asasi manusia.
“Tubuh manusia bukan trofi dan penderitaan manusia bukan alat publisiti. Berdiam diri terhadap dakwaan ini adalah satu bentuk keterlibatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut mempersoalkan keputusan Guinness World Records yang dilaporkan menarik balik larangan terhadap percubaan rekod oleh Israel selepas tekanan pihak tertentu di Amerika Syarikat, sambil menegaskan keperluan siasatan antarabangsa bebas, ketelusan penuh dan akauntabiliti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFP