KUALA LUMPUR – Impian kini menjadi realiti apabila Johor Motorsport Racing (JMR) mengesahkan penyertaan ke perlumbaan legenda 24 Hours of Le Mans 2026, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan permotoran Malaysia.
Pasukan dikenali sebagai Southern Tigers itu akan bekerjasama dengan gergasi endurance, TF Sport, dalam satu kolaborasi berprofil tinggi yang menyaksikan JMR mengetuai kempen jentera #2 Corvette Z06 GT3.R.
Bukan sekadar penampilan jemputan, penyertaan ini menyaksikan JMR membawa barisan pemandu elit mereka terus ke grid perlumbaan paling berprestij dunia di Litar de la Sarthe, Perancis.
Di kokpit #2 Corvette Z06 GT3.R, tiga nama diberi kepercayaan menggalas cabaran besar itu.
Prince Jefri Ibrahim (Bronze) akan membawa pengalaman luas dalam saingan GT3 serta semangat “Triple Nine” ke pentas antarabangsa.
Beliau digandingkan bersama Afiq Ikhwan (Silver), antara pelumba terpantas negara yang kini berpeluang membuktikan kemampuan menentang barisan pelumba berstatus silver terbaik dunia.
Melengkapkan trio ialah Ben Green (Gold), pelumba profesional berpengalaman yang dijangka membantu memaksimumkan potensi penuh jentera Corvette Z06 GT3.R.
Penyertaan #2 Corvette ini terhasil susulan dominasi TF Sport dalam saingan European Le Mans Series 2025. Sebagai simbol kepercayaan dan kerjasama strategik, TF Sport menjemput kru utama JMR untuk menyertai jentera klasik Perancis itu dalam satu gabungan teknikal “East-meets-West”.
Gabungan ini mengintegrasikan kekuatan JMR dalam perlumbaan GT bersama kepakaran dan pengalaman luas TF Sport di Le Mans.
Walaupun #2 Corvette digelar sebagai “JMR Special”, ia sebenarnya sebahagian daripada serangan besar empat jentera oleh TF Sport.
Dua lagi jentera, #33 dan #34 Corvette, merupakan penyertaan musim penuh dalam Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) yang memburu kegemilangan kategori LMGT3.
Sementara itu, jentera #14 AO by TF dalam kelas LMP2 hadir sebagai juara bertahan Pro/Am yang memburu hatrik podium.
Penyertaan JMR ini bukan sahaja membuka lembaran baharu buat pasukan tersebut, malah menjadi detik penting dalam landskap sukan permotoran Malaysia apabila bakat tempatan diberi ruang bersaing di pentas paling ikonik dunia.
Dengan kombinasi pengalaman, kepantasan dan strategi, misi JMR di Le Mans 2026 jelas, bukan sekadar melengkapkan perlumbaan 24 jam, tetapi meninggalkan impak yang sukar dilupakan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Johor Racing