KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh inisiatif Rahmah apabila melaksanakan Jualan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah di empat Bazar Ramadan Rahmah (BRR) sekitar ibu negara tahun ini.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohd Sabri Seman berkata, pelaksanaan BRR 2026 melibatkan empat lokasi utama iaitu Bazar Tasik Permaisuri, Bazar UTC Sentul, Bazar Raja Alang dan Bazar Seksyen 1 Wangsa Maju.
Menurutnya, setiap peniaga yang terlibat diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya satu Juadah Rahmah berharga RM5 dan ke bawah sebagai usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 sepanjang Ramadan.
“BRR merupakan inisiatif yang diperkenalkan sejak 2023 bagi memastikan pengguna mempunyai pilihan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan, selain menggalakkan amalan perniagaan yang lebih tersusun dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi walkabout di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras di sini hari ini bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad.
Bagi tahun ini, seramai lima peniaga daripada 160 peniaga di Bazar Tasik Permaisuri menawarkan Juadah Rahmah, manakala di Bazar UTC Sentul melibatkan lapan daripada 100 peniaga.
Di Bazar Raja Alang pula, dua daripada 80 peniaga mengambil bahagian, sementara di Bazar Seksyen 1 Wangsa Maju, 12 daripada 300 peniaga menyediakan juadah pada harga RM5 dan ke bawah.
Dalam pada itu, KPDN WPKL turut melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 30 Mac 2026 bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal mencukupi serta terkawal sehingga menjelang Aidilfitri.
Operasi berkenaan melibatkan pemantauan di premis peruncit, pasar tani, pasar raya, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri termasuk platform jualan dalam talian.
Seramai 99 pegawai dan anggota penguat kuasa ditempatkan di semua lokasi terlibat bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga.
Antara perkara yang diberi tumpuan termasuk kewajipan meletakkan tanda harga dengan jelas, tidak menjual pada harga tidak munasabah, menggunakan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan, memastikan label pembungkusan lengkap serta mengeluarkan resit kepada pembeli.
Peniaga juga diingatkan supaya tidak menjual barangan tiruan atau cetak rompak serta mematuhi peraturan penggunaan perbahasan atau perakuan halal seperti yang ditetapkan.
Selain itu, BRR turut menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi merancakkan ekonomi digital dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
Pada masa sama, inisiatif MySaveFood Ramadan di bawah konsep Ihsan Food Bank diteruskan bagi menangani pembaziran makanan di bazar Ramadan.
Bagi 2026, program itu dikendalikan oleh NGO Pemuda Gema dengan penglibatan sukarelawan daripada enam Gerakan Pengguna Siswa (GPS) WPKL yang merangkumi beberapa institusi pengajian tinggi.
Program tersebut bertujuan mengagihkan lebihan makanan kepada golongan sasar termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta komuniti setempat.
Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, Program PATUH di tapak bazar turut diperkasakan bagi memupuk budaya pematuhan undang-undang perniagaan dan amalan beretika dalam kalangan peniaga. – DETIK MALAYSIA