VIENTIANE – Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF) secara rasmi mengumumkan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Serbia, Vladica Grujic sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan negara itu bagi menghadapi kalendar padat 2026.
Pengumuman tersebut menandakan permulaan era baharu buat bola sepak Laos yang kini bertekad melakukan lonjakan lebih kompetitif di pentas Asia dan Asia Tenggara.
Grujic, 55, bukanlah nama asing di Vientiane. Beliau pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih Laos pada 2010 sebelum kembali kali ini dengan tanggungjawab lebih besar.
Jurulatih berlesen UEFA Pro itu diberi mandat penuh untuk mengendalikan skuad senior dan juga pasukan Bawah 23 Tahun (B-23), sekali gus menyelaras pembangunan jangka panjang bola sepak negara berkenaan.
Sepanjang kariernya, Grujic memiliki pengalaman luas di beberapa liga ternama dunia termasuk di Sepanyol dan Jepun.
Antara pasukan pernah diwakilinya ialah kelab Sepanyol, Real Zaragoza selain pengalaman di Asia bersama Buriram United dan Cerezo Osaka.
Rekod tersebut dilihat memberi kelebihan besar buat Laos yang sebelum ini bergelut untuk mencabar kuasa besar serantau.
Misi utama Grujic cukup jelas iaitu mengubah Laos daripada sekadar pelengkap jadual kepada pencabar serius di pentas benua.
Cabaran pertama menanti seawal bulan depan apabila Laos bakal melayan kunjungan Nepal dalam aksi kelayakan AFC Asian Cup 2027.
Perlawanan itu dianggap ujian awal keupayaan taktikal Grujic dalam membentuk identiti permainan baharu skuad kendaliannya.
Selepas itu, fokus beralih kepada saingan ASEAN Hyundai Cup 2026 yang menyaksikan Laos diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Malaysia, Filipina dan Myanmar.
Undian tersebut meletakkan Laos dalam kumpulan mencabar yang menuntut persiapan rapi serta disiplin taktikal tinggi.
Pelantikan Grujic juga mencerminkan kesungguhan LFF untuk memperkukuh struktur kejurulatihan dan meningkatkan standard kompetitif negara itu.
Dengan kombinasi pengalaman Eropah dan Asia, harapan kini terletak di bahu pengendali dari Serbia itu untuk mencipta perubahan nyata dalam landskap bola sepak Laos.
Kredit Foto – LFF