BAHRAIN – Ketika Charles Leclerc dan jentera Ferrari ‘menyanyi’ riang di padang pasir Sakhir, suasana di garaj Aston Martin F1 Team pula bertukar suram.
Hari terakhir ujian pramusim Formula Satu menyaksikan pasukan berpangkalan di Silverstone itu berdepan masalah besar apabila jentera baharu rekaan Adrian Newey gagal mempamerkan ketahanan yang diharapkan.
Di bawah revolusi peraturan 2026, Aston Martin tampil berani dengan casis radikal, identiti klasik sentuhan Newey. Namun, inovasi tersebut tampak memakan diri apabila jentera itu dihantui isu kebolehpercayaan dan kekurangan alat ganti.
Masalah paling ketara melibatkan unit kuasa Honda yang mengalami kegagalan bateri ketika dipandu juara dunia dua kali, Fernando Alonso.
Bukan itu sahaja, krisis alat ganti turut menambah derita. Pada hari terakhir ujian, pasukan dilaporkan kehabisan komponen kritikal sehingga Lance Stroll hanya sempat melengkapkan enam pusingan sebelum pasukan menamatkan sesi lebih awal.
Statistik jarak perjalanan juga membimbangkan apabila Aston Martin hanya mencatat 128 pusingan sepanjang tiga hari ujian, angka yang biasanya mampu dicapai pasukan elit dalam satu petang sahaja.
Ketua Jurutera Honda, Shintaro Orihara mengakui kekecewaan mereka.
“Kami tidak berpuas hati. Kami mengumpul data, tetapi tidak mencapai jarak sasaran. Kami gagal memenuhi objektif, secara ringkasnya,” katanya.
Dengan musim baharu semakin hampir, persoalan besar kini menghantui Aston Martin adakah ‘Kesan Newey’ sekadar gimik awal musim atau mimpi ngeri yang perlu diperbaiki segera? – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – F1