JAKARTA – Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, tampil membidas dakwaan media Malaysia yang mengaitkannya sebagai dalang di sebalik aduan Vietnam kepada FIFA terhadap skuad kebangsaan negara.
Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan menegaskan campur tangan terhadap perkembangan negara lain bukan sesuatu yang berada dalam keutamaannya.
Dakwaan berkenaan timbul selepas sebuah portal Malaysia melaporkan kononnya Thohir mempunyai peranan dalam aduan yang menyebabkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan penggantungan sementara selama 12 bulan.
Namun, Thohir menafikan sekeras-kerasnya spekulasi tersebut sambil menegaskan fokus Indonesia adalah untuk memperkukuh pasukan sendiri dan bersaing di pentas tertinggi Asia.
“Mengapa kami perlu mengganggu kemajuan negara lain sedangkan kita sebenarnya saling memerlukan untuk berkembang? Kami mahu bersaing di tahap tertinggi Asia. Jadi maaf, itu bukan kelas saya,” katanya.
Menurut beliau, negara-negara ASEAN seharusnya saling memperkukuh antara satu sama lain bagi merapatkan jurang dengan kuasa besar bola sepak Asia, apatah lagi Eropah dan Amerika Latin.
Dalam perkembangan sama, isu di luar padang itu tetap memberi kesan besar kepada skuad kebangsaan Malaysia apabila aduan rasmi Vietnam kepada FIFA sebelum ini menyaksikan tujuh pemain warisan dikenakan penggantungan.
Bagaimanapun, campur tangan Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport) membolehkan mereka beraksi sementara selepas injunksi saat akhir diberikan.
Situasi tersebut menyaksikan masa depan pemain terbabit masih belum benar-benar selamat, dengan keputusan muktamad dijangka menjadi penentu hala tuju skuad negara.
Di sebalik polemik yang hangat diperkatakan, tumpuan kini terarah kepada usaha memperkukuh pasukan masing-masing menjelang cabaran lebih besar di pentas Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSSI
