SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan kebimbangan serius dan mengecam keras kenyataan yang dikaitkan dengan Duta Amerika Syarikat ke Israel yang didakwa menyifatkan sebagai “tidak menjadi masalah” sekiranya Israel meluaskan kawalannya ke sebahagian besar Asia Barat.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata kenyataan berkenaan yang merujuk kepada dakwaan hak berasaskan naratif agama dari Sungai Nil hingga Sungai Euphrates adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya.
Menurut beliau, kenyataan sedemikian bukan sahaja mencabar prinsip undang-undang antarabangsa, malah berpotensi mengancam kedaulatan negara-negara berdaulat di rantau berkenaan.
“Sebarang bentuk peluasan wilayah melalui kekerasan atau naratif keagamaan bertentangan dengan prinsip sistem antarabangsa moden yang berasaskan kedaulatan negara, integriti wilayah dan hidup bersama secara aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut menegaskan bahawa konsep “Greater Israel” sering dikaitkan dengan cita-cita peluasan politik yang melangkaui sempadan yang diiktiraf antarabangsa.
Jelas Azmi, sekiranya wujud usaha ke arah itu, ia boleh dianggap sebagai bentuk penjajahan melalui peluasan wilayah dan berisiko mencetuskan ketegangan serantau yang serius.
Tambah beliau, pemerolehan wilayah melalui kekerasan, dasar pengilhakan serta peluasan penempatan adalah bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta pelbagai resolusi PBB.
“Menormalisasikan naratif sebegini boleh menghakis ketertiban undang-undang global dan membuka ruang kepada ketidakstabilan lebih besar,” ujarnya.
Mapim juga menegaskan penggunaan teks agama secara terpilih untuk menyokong agenda geopolitik adalah satu bentuk manipulasi ideologi yang boleh memesongkan ajaran sebenar agama serta mencetuskan konflik antara komuniti.
“Agama tidak seharusnya diperalat untuk menghalalkan dominasi, pendudukan atau pemindahan penduduk,” tegasnya lagi.
Menurut kenyataan itu, ideologi peluasan wilayah melangkaui sempadan yang diiktiraf memberi implikasi langsung kepada beberapa negara di Asia Barat termasuk Palestin, Lubnan, Syria dan Jordan.
Sehubungan itu, Mapim menggesa kerajaan Amerika Syarikat memperjelaskan pendirian rasmi dan menegaskan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa serta prinsip kedaulatan wilayah.
Pertubuhan itu turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa agar menolak sebarang naratif yang mewajarkan peluasan wilayah atau pengilhakan.
Dalam masa sama, Mapim menggesa Organisation of Islamic Cooperation (OIC) mengeluarkan kenyataan bersama yang tegas menolak retorik peluasan wilayah.
“Pemimpin serantau dan global perlu mengutamakan penyelesaian diplomatik serta langkah meredakan ketegangan, bukannya mengapi-apikan konflik melalui retorik berbahaya,” katanya.
Azmi menegaskan keamanan yang mampan hanya dapat dicapai melalui pengiktirafan hak rakyat Palestin, perlindungan tempat-tempat suci serta pematuhan terhadap kerangka undang-undang antarabangsa.
“Kenyataan yang dilihat menyokong peluasan wilayah secara paksa berisiko menyemarakkan ketegangan ketika dunia sedang berdepan pelbagai konflik dan ketidaktentuan geopolitik,” katanya.
Beliau menambah, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang eskalasi yang boleh menjejaskan keamanan serantau dan global. – DETIK MALAYSIA