PARIS – Teka-teki masa depan skuad Les Bleus selepas Piala Dunia 2026 semakin terjawab.
Legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane dilaporkan sudah mencapai persetujuan lisan untuk mengambil alih kerusi ketua jurulatih pasukan kebangsaan sebaik sahaja kejohanan itu melabuhkan tirai.
Perkembangan tersebut sekali gus membuka peluang buat Zidane menyertai kelompok elit yang pernah menjulang Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, satu pencapaian luar biasa dalam sejarah bola sepak dunia.
Untuk edisi 2026, Perancis masih akan dibimbing oleh Didier Deschamps. Pengendali berpengalaman itu sebelum ini sudah mengumumkan hasrat untuk berundur selepas kejohanan tersebut, menjadikan Piala Dunia 2026 sebagai pentas terakhirnya bersama skuad kebangsaan.
Di bawah Deschamps, Perancis muncul juara dunia pada 2018 dan sekali lagi mara ke final pada 2022 sebelum tewas menerusi penentuan penalti kepada Argentina.
Kini, tumpuan beralih kepada Zidane yang memiliki rekod gemilang ketika membimbing Real Madrid. Kejayaan merangkul tiga gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut menjadi bukti kredibilitinya sebagai jurulatih elit.
Jika benar dilantik, Zidane bakal mewarisi skuad yang cukup mantap. Nama-nama seperti Kylian Mbappé, Eduardo Camavinga, William Saliba dan Mike Maignan menjadi tulang belakang generasi baharu Perancis yang sarat dengan bakat serta pengalaman di pentas tertinggi.
Gabungan reputasi Zidane dan kekuatan pemain yang ada menjadikan masa depan Les Bleus tampak cerah.
Soalnya kini, mampukah ikon Perancis itu melengkapkan legasi dengan menghadiahkan satu lagi trofi Piala Dunia, kali ini dari tepi padang? – DETIK MALAYSIA