KRUBONG – Terengganu FC (TFC) membawa pulang tiga mata berharga selepas menewaskan Melaka FC 2-1 pada aksi Liga Super 2025/26 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi sebaik wisel ditiupkan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan. TFC tampak lebih tenang dan tajam dalam penyudah untuk memastikan kemenangan milik mereka.
Melaka mempertaruhkan Sam Somerville di gawang, manakala Irfan Zakaria menggalas lilitan kapten. Import baharu, Ahmed Shamsaldin pula menjadi sandaran utama jentera serangan tuan rumah.
Skuad Peteh turun dengan Rahadiazli Rahalim sebagai penjaga gol, Shahrul Nizam mengetuai benteng, sementara gandingan Gervane Kastaneer dan Akhyar Rashid mengemudi jentera serangan.
Kastaneer hampir memecah kebuntuan pada minit ke-20 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti, namun percubaannya sedikit tersasar. Melaka membalas menerusi Shamsaldin, tetapi Rahadiazli tangkas menafikan jaringan.
Gol yang dinanti tiba pada minit ke-36 apabila Akhyar meledak penyudah kemas untuk menewaskan pertahanan Melaka sekali gus meletakkan pelawat di depan 1-0 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Melaka meningkatkan tekanan bagi memburu gol penyamaan. Namun, TFC terus menguasai sebahagian besar permainan dengan Kastaneer dan Baqiuddin Shamsudin kerap mencetus ancaman.
Baqiuddin terlepas peluang keemasan pada minit ke-71 selepas menerima hantaran lintang tepat, namun gagal menggandakan kelebihan.
Kelalaian itu dihukum tiga minit kemudian apabila Dino Kalesic melepaskan voli cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-74 untuk menyamakan kedudukan 1-1 dan menghidupkan semula sorakan penyokong tuan rumah.
Namun, Baqiuddin segera menebus kehampaan. Pada minit ke-78, beliau meledak rembatan kaki kanan padu dari dalam kotak penalti untuk kembali meletakkan TFC di hadapan.
Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat, menyaksikan TFC terus memperkukuh kedudukan dalam carta liga, manakala Melaka terpaksa menggigit jari selepas beberapa peluang terlepas begitu sahaja. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – TFC