BURIRAM – Pelumba Sepanyol, Jorge Martin membuktikan sentuhan emasnya masih berbisa apabila kembali menggegarkan ujian pramusim MotoGP di Chang International Circuit, semalam.
Selepas tiga bulan berehat akibat kecederaan, Martin menamatkan Hari Pertama Ujian Buriram di kedudukan ke-13, namun catatan masa 1:29.813 saat sudah cukup untuk membungkam segala keraguan.
Lebih mengujakan, dia hanya ketinggalan +0.551 saat di belakang pendahulu, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa ‘Martinator’ sudah kembali sepenuhnya bersama jentera baharu, Aprilia RS-GP26.
Bercakap selepas sesi ujian dalam cuaca panas Thailand, Martin kelihatan ceria seolah-olah baru memenangi perlumbaan.
“Hari ini saya mahu faham bagaimana badan saya bertindak balas. Ia jauh lebih baik daripada jangkaan. Tangan dan bahu dalam keadaan baik. Saya rasa cukup kuat untuk menekan jentera.
“Saya cuma gembira kerana saya tidak lupa cara menunggang jentera MotoGP!” katanya sambil tersenyum.
Walaupun mengakui sedikit bergelut dari segi ketahanan untuk larian panjang, kepantasan mentahnya sudah jelas sejak awal sesi.
Musim lalu, Martin berdepan kesukaran di zon membrek, namun pakej 2026 dilihat memberikan penyelesaian terbaik terhadap kelemahan tersebut. Dia sendiri mengesahkan peningkatan ketara ketika membrek, aspek yang menjadi ‘tumit Achilles’ pada 2025.
Martin turut memuji rakan sepasukan, Marco Bezzecchi, serta kru ujian yang telah meletakkan asas kukuh sewaktu sesi di Malaysia sebelum ini.
“Pakej ini sudah berfungsi dengan baik. Tiada perubahan besar diperlukan, cuma bina rentak,” jelasnya.
Walaupun belum melakukan ‘time attack’ sebenar, Martin memberi bayangan bahawa percubaan masa terbaik akan dilakukan hari ini. Dengan gaya tunggangan yang diperbaharui serta jentera lebih stabil, dia menjangkakan peningkatan besar bakal terpapar di papan masa.
Bagi Martin, hari pertama bukan sekadar soal catatan masa, tetapi keyakinan.
“Ia bukan hanya tentang laju. Ia tentang rasa yang baik sebaik sahaja kembali selepas dua atau tiga bulan tanpa MotoGP. Itu sangat, sangat positif,” katanya.
Dengan persaingan semakin sengit dan jurang masa semakin tipis, Martin sedar kerja keras masih belum selesai.
Namun satu perkara pasti dia bukan sekadar kembali, tetapi sedang membina momentum baharu bersama Aprilia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MotoGP