PULAU PINANG – Johor Darul Ta’zim terus membuktikan status selaku kuasa besar bola sepak tanah air apabila membenam Penang FC 4-0 pada aksi Liga Super 2025/26 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.
Kemenangan minggu ke-19 itu mengukuhkan lagi cengkaman skuad Harimau Selatan dalam misi memburu satu lagi kejuaraan, sekali gus memberi amaran jelas kepada pencabar lain bahawa mereka masih sukar digugat.
Pasukan tuan rumah yang mendapat sorakan padu penyokong setia ‘Panthers’ ternyata tidak mampu mengekang ketajaman jentera serangan pelawat yang tampil cukup tersusun dan berdisiplin.
Gol pembukaan hadir seawal minit keenam menerusi sentuhan kemas Marcos Guilherme yang pantas menghukum kelalaian benteng Penang.
Penang cuba bangkit menerusi gerakan solo menarik Chia Ruo Han, namun benteng JDT yang diketuai aksi cemerlang Oscar Arribas berjaya mematahkan asakan.
Arribas kemudian bertukar menjadi arkitek apabila melorongkan bola tepat kepada Bergson da Silva pada minit ke-35 untuk gol kedua pelawat sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan tekanan. Pada minit ke-68, Bergson sekali lagi mencatat nama selaku penjaring selepas menerima umpanan menarik pemain gantian, Joao Figueiredo.
Malang buat Penang apabila penjaga gol utama, Ramdhan Hamid, terpaksa dikeluarkan susulan pertembungan keras dengan Manuel Hidalgo. Tempatnya diganti Khairulazhan Khalid, namun keadaan tidak banyak berubah.
Di penghujung masa kecederaan, Arribas melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan keempat sekali gus menutup tirai kemenangan bergaya JDT.
JDT terus mara tanpa belas, manakala Penang perlu segera bangkit jika tidak mahu terus ketinggalan dalam saingan Liga Super musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST