BAGHDAD – Iraq berdepan situasi mencabar menjelang aksi playoff antara benua kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Pengurusan pasukan mengesahkan perlawanan penting itu akan diadakan di Monterrey, Mexico pada 31 Mac, namun persiapan skuad kini terganggu akibat beberapa masalah di luar padang.
Menurut kenyataan rasmi bertarikh 3 Mac, perkembangan keselamatan di Asia Barat menyebabkan pergerakan pasukan menjadi sukar, sekali gus menjejaskan persiapan menjelang aksi penting tersebut.
Antara isu utama ialah ketua jurulatih, Graham Arnold, yang dilaporkan masih terkandas di United Arab Emirates susulan penutupan ruang udara di beberapa kawasan.
Selain itu, beberapa kedutaan yang masih ditutup menyebabkan sebahagian pemain, pegawai teknikal dan pasukan perubatan gagal mendapatkan visa kemasukan ke Mexico.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap persiapan Iraq bagi menghadapi aksi penentuan yang bakal menentukan peluang mereka ke pentas Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, pengurusan pasukan memaklumkan mereka sedang berhubung rapat dengan FIFA serta AFC bagi mencari penyelesaian terbaik supaya penyertaan Iraq dalam perlawanan tersebut dapat diteruskan.
Dalam masa sama, mereka memberi jaminan kepada penyokong bahawa perkembangan semasa akan terus dipantau bersama kedua-dua badan bola sepak berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA