KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan muktamad daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang dikemukakan badan induk itu bersama tujuh pemain kebangsaan berkaitan prosiding tatatertib sebelum ini.
Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, rayuan yang difailkan FAM telah ditolak, manakala rayuan oleh tujuh pemain terbabit hanya diterima sebahagiannya.
Walaupun terdapat beberapa pindaan terhadap hukuman asal, kesemua pemain tersebut masih perlu menjalani penggantungan tambahan selama lapan bulan daripada menyertai mana-mana pertandingan bola sepak kompetitif.
Menurut FAM, alasan penuh keputusan bertulis daripada CAS masih belum diterbitkan, justeru sebarang penilaian terperinci terhadap keputusan tersebut hanya boleh dibuat selepas dokumen lengkap diterima dan diteliti.
Dalam masa sama, badan induk bola sepak negara itu mengakui menghormati keputusan CAS, namun menyuarakan kebimbangan bahawa hukuman dikenakan dilihat tidak seimbang jika dibandingkan dengan kes-kes lain yang pernah diputuskan tribunal berkenaan sebelum ini.
FAM turut mengakui terdapat kegagalan dari sudut penyeliaan pentadbiran yang berkait dengan kes tersebut.
Siasatan berkaitan perkara itu masih berjalan melibatkan beberapa agensi kerajaan Malaysia serta badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Sehubungan itu, FAM menegaskan komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa berkaitan sepanjang proses siasatan berkenaan berlangsung.
Dalam kenyataan sama, FAM turut menegaskan bahawa pemain-pemain terlibat tidak terlibat dalam sebarang urusan pentadbiran berkaitan kes tersebut dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara yang sedang disiasat.
Menurut badan itu, kesemua pemain berkenaan merupakan warganegara Malaysia yang memperoleh kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang negara, sekali gus menjadikan keputusan tersebut amat mengecewakan buat mereka secara peribadi.
Walaupun berdepan situasi mencabar, FAM merakamkan penghargaan kepada penyokong yang terus memberikan sokongan kepada bola sepak negara.
Badan induk itu menegaskan skuad kebangsaan akan terus fokus terhadap matlamatnya serta berusaha memperkukuh pembangunan dan prestasi bola sepak Malaysia pada masa depan. – DETIK MALAYSIA