KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk keras tindakan ketenteraan yang didakwa dilakukan Amerika Syarikat sehingga menenggelamkan kapal perang Iran di perairan antarabangsa Lautan Hindi.
Menurut laporan media antarabangsa, kapal tentera laut Iran, IRIS Dena, diserang menggunakan torpedo yang dilancarkan oleh kapal selam sehingga menyebabkan kapal itu tenggelam.
Dalam kejadian itu, pihak berkuasa Sri Lanka dilaporkan berjaya menyelamatkan 32 anak kapal, manakala lebih 100 kelasi lain masih hilang dan usaha mencari serta menyelamat sedang dijalankan.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan berkenaan dianggap sebagai peningkatan tindakan ketenteraan yang berbahaya kerana berlaku di perairan antarabangsa yang sepatutnya dilindungi oleh undang-undang maritim dan prinsip kebebasan pelayaran.
“Menyerang kapal tentera laut milik negara berdaulat di perairan antarabangsa tanpa justifikasi undang-undang antarabangsa merupakan satu tindakan pencerobohan serius dan pelanggaran norma global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kenyataan pegawai pertahanan Amerika Syarikat yang menggambarkan operasi itu sebagai ‘kematian senyap’ serta menyatakan matlamat untuk memusnahkan tentera laut Iran menunjukkan sikap melulu yang boleh mengancam kestabilan global.
Katanya, perkembangan itu berlaku ketika ketegangan di Asia Barat semakin memuncak susulan serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang dilaporkan mengorbankan beberapa tokoh penting negara berkenaan.
Mapim turut menegaskan bahawa pembunuhan politik, serangan terhadap aset ketenteraan negara berdaulat serta operasi ketenteraan di perairan antarabangsa merupakan pelanggaran terhadap prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jika tindakan seperti ini dibiarkan tanpa akauntabiliti, dunia berisiko memasuki era berbahaya di mana undang-undang antarabangsa diketepikan dan digantikan dengan penggunaan kuasa ketenteraan tanpa kawalan,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengutuk tindakan pencerobohan yang boleh meningkatkan konflik di Asia Barat serta menuntut siasatan bebas terhadap serangan ke atas kapal perang Iran tersebut.
Selain itu, pertubuhan itu turut menggesa penghentian segera sebarang tindakan yang berpotensi mencetuskan peperangan serantau lebih besar.
Mapim juga menggesa negara-negara Selatan Global, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil pendirian tegas dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.
“Sejarah akan merekodkan tindakan pencerobohan ini. Dunia tidak boleh menerima sistem di mana negara berkuasa bebas menyerang negara lain tanpa hukuman,” katanya. – DETIK MALAYSIA