ISMAILIA – Harapan skuad hoki negara untuk melangkah lebih jauh dalam Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 menerima tamparan hebat apabila Malaysia tewas besar 1-7 kepada England dalam aksi separuh akhir, malam tadi.
Dalam perlawanan yang menyaksikan kehebatan pasukan ranking dunia itu, England mempamerkan aksi klinikal terutama menerusi situasi penalty corner yang gagal ditangani dengan baik oleh barisan pertahanan Speedy Tigers.
England membuka jaringan menerusi Sam Ward pada minit ke-19, sebelum mereka terus menambah tekanan ke atas skuad negara.
Keupayaan England memanfaatkan set piece jelas menjadi mimpi ngeri buat Malaysia apabila Samuel Hooper dan Sam Ward berjaya menjaringkan beberapa gol menerusi penalty corner, sekali gus menyumbang empat daripada tujuh jaringan pasukan itu.
Malaysia yang cuba bangkit akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi Faizal Saari pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Namun, harapan untuk merapatkan jurang tidak kesampaian apabila England menambah tiga lagi gol dalam enam minit terakhir, sekali gus melengkapkan kemenangan besar 7-1.
Kekalahan tersebut menyaksikan laluan automatik Malaysia ke Piala Dunia Hoki 2026 semakin sukar.
Bagaimanapun, peluang masih belum tertutup sepenuhnya buat Speedy Tigers.
Malaysia kini wajib memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga bagi memastikan tiket automatik terakhir dari kelayakan di Ismailia.
Sekiranya sekadar menamatkan saingan di tempat keempat, skuad negara terpaksa bergantung kepada kedudukan ranking dunia berbanding pasukan tempat keempat dari satu lagi kejohanan kelayakan di Santiago, Chile.
Situasi itu menjadikan perlawanan seterusnya sebagai misi hidup mati buat Speedy Tigers dalam usaha memastikan tempat ke pentas Piala Dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIH