KUALA LUMPUR – Buriram United menempah tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite 2025/26 buat dua musim berturut-turut selepas menewaskan Melbourne City FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik di Stadium Buriram, Thailand.
Kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas 120 minit permainan, sekali gus menjadikan agregat keseluruhan 1-1 susulan keputusan seri pada perlawanan pertama di Australia minggu lalu.
Perlawanan berlangsung sengit sejak awal dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun peluang yang terhasil gagal dimanfaatkan dengan baik.
Nathaniel Atkinson hampir meletakkan Melbourne di depan tetapi percubaannya tersasar, manakala pemain sayap Buriram, Kingsley Schindler turut gagal menemui sasaran ketika kedua-dua pasukan cuba menguasai permainan.
Buriram kemudian berdepan detik sukar pada minit ke-21 apabila Robert Zulj dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap Harrison Shillington.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Buriram tetap menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya mengekang asakan Melbourne yang gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.
Penjaga gol Buriram, Neil Etheridge menjadi wira pasukan apabila beberapa kali melakukan aksi menyelamat penting termasuk menafikan percubaan Daniel Arzani pada babak pertama.
Pada separuh masa kedua, Guilherme Bissoli hampir memecah kebuntuan buat tuan rumah menerusi rembatan kencang, namun berjaya ditepis penjaga gol Melbourne, Patrick Beach.
Melbourne pula hampir menjaringkan gol menerusi sepakan akrobatik Marcus Younis, tetapi bola sekadar melintas tipis di sebelah tiang gol.
Pasukan pelawat menyangka mereka telah mendahului pada minit ke-74 menerusi jaringan Atkinson, namun gol tersebut dibatalkan selepas pemeriksaan mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Etheridge terus menjadi penghalang utama apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk daripada Max Caputo, Younis dan Elbasan Rashani ketika masa tambahan.
Ketegangan perlawanan memuncak apabila pertahanan Melbourne, German Ferreyra turut dilayangkan kad merah pada minit ke-119 selepas bertelagah dengan Ruben Sanchez, menjadikan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain sebelum penentuan penalti.
Dalam penentuan sepakan penalti, Etheridge sekali lagi muncul wira apabila berjaya menafikan sepakan Ryan Teague dan Aziz Behich.
Sepakan penalti kemenangan akhirnya disempurnakan Kenneth Dougall bagi memastikan Buriram mencatat kemenangan 4-2, sekali gus mencetuskan kegembiraan penyokong tuan rumah di Stadium Buriram. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC