KUALA LUMPUR – Malaysia membuat keputusan berani apabila menghantar skuad bawah 16 tahun (B-16) untuk bersaing dalam Kejohanan ASEAN B-17 2026 yang dijadual berlangsung di Jawa Timur, Indonesia pada April ini.
Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee berkata, pendekatan itu dipilih sebagai strategi pembangunan jangka panjang menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2027.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk Pengarah Teknikal, Scott O’Donell.
“Walaupun kita menghantar pasukan lebih muda berbanding negara lain, kejohanan ini penting sebagai pendedahan awal dan medan membina pengalaman kompetitif pemain.
“Ia juga sebahagian perancangan awal ke arah kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November nanti,” katanya.
Tambah beliau, lima negara iaitu Vietnam, Indonesia, Thailand, Myanmar dan Australia akan menurunkan skuad B-17 sebenar selepas layak ke Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi.
Malaysia sebelum ini gagal melayakkan diri, sekali gus mendorong perubahan pendekatan dengan memberi fokus kepada pembangunan pemain lebih muda.
Skuad negara akan dibimbing ketua jurulatih, Shukor Adan dengan sasaran utama memberi pendedahan awal kepada pemain.
“Walaupun setahun lebih muda, saya percaya pemain kita mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain di Indonesia,” ujar Ong.
Kejohanan ASEAN B-17 2026 dijadual berlangsung dari 11 hingga 24 April ini, dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Vietnam dan Timor-Leste. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM