KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima tamparan hebat apabila dua kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia AFC 2027 dibatalkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC dalam mesyuarat pada 17 Mac lalu yang dipengerusikan Jahangir Baglari.
Menurut keputusan tersebut, FAM didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC susulan tindakan menurunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan.
Perlawanan terlibat ialah kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac 2025 serta kemenangan 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Susulan pelanggaran itu, kedua-dua keputusan tersebut dibatalkan dan digantikan dengan kekalahan 0-3 secara percuma, selaras Artikel 25.1 kod sama.
Selain hukuman sukan, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM196,119).
Perkembangan itu memberi kesan besar kepada kedudukan Malaysia dalam kempen kelayakan kejohanan berprestij Asia tersebut.
Dalam masa sama, FAM memaklumkan akan memohon alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum menentukan tindakan susulan termasuk kemungkinan membawa kes ini ke peringkat seterusnya.
Situasi ini menyaksikan laluan Malaysia ke pentas Piala Asia AFC 2027 menjadi semakin sukar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM