Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
SHAH ALAM – Serangan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran mencetuskan persoalan besar dalam kalangan umat Islam mengenai pendirian syariat terhadap konflik tersebut.
Insiden berkenaan bukan sahaja mengorbankan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih besar di peringkat serantau serta global.
Dari sudut undang-undang antarabangsa, tindakan tersebut didakwa melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melibatkan penggunaan kekerasan terhadap negara berdaulat tanpa mandat Majlis Keselamatan.
Namun dalam konteks Islam, penilaian terhadap konflik ini perlu berasaskan prinsip syariat, keadilan dan kemanusiaan.
Peperangan hanya jalan terakhir
Islam tidak menggalakkan peperangan, sebaliknya menetapkan ia sebagai langkah terakhir selepas semua usaha damai gagal.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 190 menegaskan agar umat Islam memerangi hanya pihak yang memerangi mereka, tanpa melampaui batas.
Prinsip ini membawa dua asas utama iaitu peperangan hanya untuk mempertahankan diri dan tidak boleh melibatkan kezaliman atau tindakan melampau.
Larangan bunuh orang awam
Syariat Islam secara tegas melarang pembunuhan golongan bukan kombatan seperti wanita, kanak-kanak, warga emas serta individu awam.
Sejarah menunjukkan Rasulullah SAW melarang serangan terhadap mereka yang tidak terlibat dalam peperangan.
Dalam konteks moden, serangan ke atas kawasan awam, hospital atau infrastruktur awam boleh dikategorikan sebagai kezaliman dan bercanggah dengan prinsip Islam serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Jihad bukan untuk agresi
Konsep jihad sering disalah tafsir. Dalam Islam, jihad bukan semata-mata peperangan, sebaliknya merangkumi usaha memperbaiki diri dan masyarakat.
Jihad bersenjata hanya dibenarkan dalam situasi tertentu seperti mempertahankan diri, melindungi golongan dizalimi dan menjaga kebebasan beragama.
Ia sama sekali tidak boleh digunakan untuk tujuan dominasi politik atau kepentingan geopolitik.
Agresi boleh dianggap kezaliman
Dalam fiqh Islam, tindakan keganasan yang menimbulkan ketakutan dan kerosakan dikenali sebagai hirabah.
Jika sesuatu serangan dilakukan tanpa justifikasi sah serta menyebabkan kematian orang awam, ia boleh dianggap sebagai bentuk kezaliman yang bercanggah dengan maqasid syariah.
Dimensi geopolitik
Konflik ini turut dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk persaingan kuasa di Timur Tengah, kepentingan strategik Israel serta kedudukan Iran berhampiran Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia.
Justeru, konflik tersebut tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu keselamatan, sebaliknya melibatkan kepentingan geopolitik dan ekonomi global.
Dunia Islam perlu bersuara
Dalam menghadapi situasi ini, negara-negara Islam diseru mengambil pendirian tegas dengan mengutuk sebarang bentuk agresi, menuntut keadilan antarabangsa serta memperkukuh solidariti umat.
Selain itu, usaha diplomasi melalui platform seperti OIC perlu digerakkan bagi meredakan konflik dan mengelakkan eskalasi lebih besar.
Tindakan perlu diperkasa
Antara langkah yang boleh diambil termasuk mengadakan sidang tergempar negara Islam, meningkatkan tekanan diplomatik, menggunakan saluran undang-undang antarabangsa serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan politik sesama negara Islam.
Kesimpulan
Islam menolak peperangan agresif dan sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam.
Sebaliknya, syariat menegaskan bahawa peperangan hanya dibenarkan untuk mempertahankan diri dan melindungi golongan tertindas.
Sehubungan itu, umat Islam perlu menilai konflik ini secara objektif berasaskan prinsip keadilan dan kemanusiaan serta tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman.
“Jadilah penentang kepada kezaliman dan pembela kepada golongan yang dizalimi.” – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI