KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John Paul tampil menjelaskan perbezaan ketara antara kes pemain tidak layak membabitkan Malaysia dan Timor Leste yang kini menjadi perhatian ramai peminat bola sepak Asia.
Menurut beliau, faktor masa penemuan kesalahan menjadi elemen utama yang membezakan tindakan disiplin terhadap kedua-dua negara tersebut.
Windsor berkata, dalam kes Timor Leste sebelum ini, kesalahan membabitkan 12 pemain yang menggunakan dokumen palsu hanya dikesan selepas kejohanan tamat sepenuhnya.
“Apabila sesuatu pertandingan telah berakhir dan kesalahan hanya ditemui selepas itu, hukuman tidak boleh dilaksanakan secara retrospektif terhadap kejohanan tersebut. Sebaliknya, tindakan disiplin akan dikenakan untuk pertandingan akan datang,” katanya.
Susulan itu, Timor Leste dikenakan larangan menyertai edisi kejohanan seterusnya sebagai bentuk hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin AFC.
Namun, situasi membabitkan skuad Harimau Malaya ketika ini berbeza kerana siasatan berkaitan pendaftaran dan kelayakan pemain berlaku ketika kempen kelayakan Piala Asia masih berlangsung.
Jelas Windsor, sekiranya kesalahan dibuktikan, tindakan disiplin boleh dilaksanakan serta-merta kerana kejohanan masih berjalan.
“Situasi Harimau Malaya berbeza kerana pertandingan masih berlangsung. Oleh itu, sebarang hukuman boleh dikenakan pada masa ini berdasarkan konteks kes tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC kini sedang menjalankan penelitian terperinci terhadap fakta kes serta penjelasan rasmi yang telah dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurutnya lagi, keputusan tidak akan dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelakkan sebarang kelemahan dalam proses disiplin yang boleh membuka ruang kepada rayuan di peringkat lebih tinggi termasuk ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM