KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sehingga mengorbankan ratusan kanak-kanak tidak berdosa di Iran.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Iran yang turut dilaporkan media antarabangsa, serangan ketenteraan berterusan oleh kedua-dua negara itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 202 kanak-kanak terbunuh, termasuk 12 mangsa berusia bawah lima tahun. Angka tersebut menggambarkan tragedi kemanusiaan yang amat membimbangkan apabila golongan paling rentan menjadi mangsa.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan mengebom kawasan awam yang mengakibatkan kematian kanak-kanak merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan yang tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Menurutnya, perbuatan tersebut jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta prinsip asas yang melindungi orang awam dalam konflik bersenjata.
“Kematian kanak-kanak bukan sekadar kerosakan sampingan peperangan, sebaliknya satu tragedi moral yang menuntut pertanggungjawaban segera daripada masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Mapim turut melahirkan kekecewaan terhadap sikap berdiam diri beberapa kerajaan di rantau Teluk serta kegagalan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan tegas dalam menangani isu tersebut.
“Ketika nyawa orang awam, khususnya kanak-kanak terus terkorban, dunia Islam tidak boleh terus berdiam diri atau terperangkap dalam kebuntuan diplomatik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa masyarakat antarabangsa termasuk institusi kemanusiaan global seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menjalankan siasatan segera terhadap serangan berkenaan.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi melindungi orang awam serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri apabila kanak-kanak menjadi mangsa peperangan geopolitik. Keadilan mesti ditegakkan bagi setiap nyawa yang tidak berdosa,” katanya.
Dalam masa sama, Mapim menyeru seluruh masyarakat dunia yang mempunyai nilai kemanusiaan agar menuntut pertanggungjawaban terhadap keganasan ke atas orang awam.
Menurutnya, perlindungan terhadap kanak-kanak harus menjadi tanggungjawab moral sejagat yang melangkaui kepentingan politik serta agenda ketenteraan. – DETIK MALAYSIA