ZURICH – FIFA menolak permintaan rasmi Iran untuk memindahkan aksi peringkat kumpulan Piala Dunia FIFA 2026 ke Mexico.
Permintaan itu dibuat susulan kebimbangan keselamatan dan ketegangan geopolitik, termasuk keengganan Iran untuk beraksi di bumi Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia itu menegaskan jadual asal kejohanan kekal dan tidak akan diubah.
“Ia selaras dengan pelan rasmi yang diumumkan pada 6 Disember 2025. Semua pasukan perlu mematuhi jadual ditetapkan,” menurut jurucakap FIFA.
Sebelum ini, Kedutaan Iran di Mexico dilaporkan cuba membuka rundingan bagi memindahkan perlawanan ke negara itu yang turut menjadi tuan rumah bersama.
Namun, FIFA menegaskan sebarang perubahan venue pada saat akhir akan menjejaskan aspek logistik termasuk penjualan tiket, keselamatan serta hak penyiaran.
Iran dijadualkan mengharungi saingan sengit dalam kumpulan yang turut dibarisi Belgium, Mesir dan New Zealand dengan kesemua perlawanan berlangsung di Amerika Syarikat.
Isu ini turut dipanaskan dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencetuskan kebimbangan mengenai jaminan keselamatan delegasi Iran.
Dalam masa sama, FIFA menegaskan prinsip neutraliti sukan perlu dihormati, selain komitmen terhadap perjanjian bidaan bersama melibatkan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Keputusan itu menyaksikan Iran tiada pilihan selain akur dan meneruskan kempen Piala Dunia mengikut jadual ditetapkan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC